Malaysia Dateline

Kan dah dua kali ayah suruh mandi, kata Shabery kepada Takiyudin

“Kalau dah dua kali ayah suruh mandi, faham-fahamlah,” kata bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kepada Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan melalui Facebooknya.

Shabery yang merupakan senior kepada Takiyuddin di Universiti Malaya juga menyindir seolah-olah Takiyuddin buat-buat tidak faham dengan titah Agong agar diadakan segera sidang Parlimen.

“Tak kan nak sebut pukul berapa, sabun apa, berapa kali nak jirus?” kata Shabery, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) beberapa penggal sebelum jawatan itu diambil alih oleh Takiyuddin kemudiannya.

“Bahasa ayahanda kan halus…,” katanya lagi.

Shabery berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Takiyuddin yang mengatakan Agong tidak bertitah bulan berapa untuk buka sidang parlimen.

Kata Takiyuddin, Perdana Menteri sudah menyatakan akan buka Parlimen pada September.

“Kita sudah hampir untuk diadakan sidang Parlimen,” kata Takiyuddin.

Hari ini selepas mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu, Agong telah menitahkan agar Parlimen bersidang segera bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.