Malaysia Dateline

Kan dah kata jangan darurat, Najib pulang paku buah keras kepada PN

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memulangkan paku buah keras kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas kerajaan mengaku mereka tidak mempunyai wang yang banyak sehingga meminta semua pihak memotong gaji kakitangan mereka.

Menurut Najib, sebelum ini beliau telah memberikan ingatan bahawa darurat tidak diperlukan kerana pelabur tidak akan datang jika perintah darurat dikenakan.

“Berulang kali saya dah kata. Sehingga saya sendiri bosan tapi terpaksa ulang sebab kesannya amat besar pada Rakyat dan kerajaan.

“Tak perlu darurat sebab pelabur tak datang dan hasil kerajaan akan jatuh. PKP 1.0 tahun 2020 adalah bukti bahawa kerajaan sudah cukup kuasa untuk membendung Covid.

“Tapi kerajaan PN tak hirau. Mungkin sebab mereka lebih gemar dengan pendekatan Tun Mahathir untuk Rakyat ikat perut,” kata Najib.

Najib mengulas permintaan dari Menteri Kewangan agar GLC, badan berkanun mempertimbangkan tindakan memotong gaji dan elaun untuk kakitangan mereka.

Tindakan ini dibuat selepas perdana menteri mengumumkan pemotongan gaji untuk beliau, menteri dan timbalan menteri baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara pula mengumumkan pemotongan elaun untuk kakitangan awam dari yang tertinggi sehingga kakitangan rendah.

Sejak dari awal darurat, parti pembangkang khasnya Pakatan Harapan mengadakan kempen agar darurat ditamatkan.

Kempen itu dibuat melalui satu badan yang dinamakan Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat yang diketuai oleh ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.