Malaysia Dateline

Kanak-kanak 4 tahun didera, dicucuh objek panas sebelum meninggal

Tubuh seorang kanak-kanak lelaki 4 tahun yang meninggal dunia semalam akibat didera dikesan mempunyai kecederaan lama dan baharu di seluruh badannya.

Polis mengesahkan terdapat kecederaan akibat dipukul dan didapati mempunyai kesan seperti dicucuh objek panas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan perkara berkenaan sejurus selepas keluar daripada bilik mayat sambil memaklumkan kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan di kemaluan dan digigit di telinga.

“Saya baharu keluar daripada bilik mayat bagi melihat secara ringkas keadaan jenazah dan ia memang amat mendukacitakan.

“Hampir seluruh badan mangsa, dari kepala sampai ke kaki terdapat kecederaan. Kesan-kesan cedera ini mungkin dipukul dan terdapat juga kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan termasuk kemaluan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.

Kamarul Zaman berkata demikian bagi mengulas insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia hari ini dipercayai akibat didera oleh lima rakan kakaknya di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat.

Pada awalnya kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, namun polis mengklasifikasikan semula kes akibat kematian mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut Kamarul Zaman, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak malang itu mula dijaga kakak kandungnya yang juga anak ketiga daripada 11 beradik, sejak September lalu.

Ia berikutan, kedua ibu bapa dua beradik itu dimasukkan ke dalam penjara akibat terbabit dalam kes pengagihan dan pengedaran dadah.

Katanya, polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya antaranya batang besi 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas serta cadar dan sarung bantal.