Kanak-kanak di kem pelarian Lubnan ‘nikmati’ permainan musim sejuk

Kanak-kanak di kem pelarian Lubnan ‘nikmati’ permainan musim sejuk

Ubaidillah, 13, kelihatan riang membina ‘orang salji’ dan gelongsor salji bersama rakan-rakannya di kem pelarian Um Alkora, Aarsal di sini, manakala seorang kanak-kanak perempuan di kawasan yang kurang salji pula bermain dengan buaian yang diikat pada sebatang pokok.

Situasi itu dapat dilihat di kalangan kanak-kanak di kem-kem pelarian di kawasan pergunungan Beqaa, walaupun mereka berada dalam keadaan serba kekurangan, ia tidak menghalang mereka menikmati zaman kanak-kanak.

Membina ‘orang salji’ dan gelongsor salji ketika salji lebat menjadi kegiatan harian Ubaidillah sejak ribut salji membadai timur Lubnan awal Januari ini.

“Letih tetapi seronok…sejuk…ibu sering marah kami (dia dan rakan-rakannya) bermain di luar ketika salji kerana takut demam, tapi kami tak endahkan,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Ubaidillah adalah seorang daripada sebahagian besar kanak-kanak yang menetap di kem berkenaan. Kem Um Alkora menempatkan hampir 400 pelarian Syria daripada 50 keluarga yang rata-rata merupakan mangsa perang di negara asal sejak lima hingga enam tahun lalu.

Kanak-kanak itu ditemui ketika Majlis Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia (Mapim) berada di kem berkenaan untuk menyampaikan bantuan bekalan barang-barang keperluan kepada pelarian Syria yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan, terutama pada musim sejuk.

Lain pula keadaan di kem Arze. Salji tidak begitu lebat walaupun suhu sejuk iaitu pada tahap satu darjah Celcius.

Tidak mengerti kesengsaraan dan kesusahan yang berlaku ketika ini, Ghazal, 4, hanya tahu bermain buaiannya sambil memerhati gelagat rakan-rakan lain bermain salji berhampiran khemah mereka.

Kegirangan kanak-kanak perempuan itu yang ditemani bapanya Hameed, 40-an, tidak langsung menggambarkan keperitan sebenar yang dihadapi pelarian Syria akibat menjadi mangsa perang di negara asal.

Keperitan yang dilalui pelarian-pelarian itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila mereka berhadapan dengan kesejukan musim sejuk tanpa persediaan rapi, tanpa bekalan makanan yang mencukupi, tanpa pakaian panas yang cukup dan kekurangan alat pemanas.

Datuk Bandar Aarsal, Basel Houjayri berkata pelarian Syria di sini datang ke Lubnan sehelai sepinggang dan memerlukan bantuan seperti makanan, selimut dan pemanas untuk meneruskan kehidupan pada musim sejuk.

Di sini, Houjayri berkata terdapat 60,000 pelarian Syria di 160 kem yang rata-rata merupakan mangsa perang yang berlaku di Syria sejak tujuh tahun lalu.

“Terdapat lebih 100,000 pelarian Syria yang datang ke sini (Aarsal) untuk mencari tempat perlindungan namun angka itu berkurangan sejak tahun 2014,” katanya.

– BERNAMA