Kanak-kanak jatuh tersungkur akibat dipukul, muka berdarah terhantuk bucu bangku

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan seorang wanita memukul seorang kanak-kanak perempuan sehingga tercedera di hadapan sebuah pasar raya dipercayai terletak di Arau, Perlis telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Mana tidaknya, wanita berkenaan bukan sahaja memukul kanak-kanak itu sekurang-kurangnya tiga kali malah turut menyebabkan kecederaan selepas mangsa terhantuk di bucu bangku di lokasi kejadian.

Perbuatan wanita itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum video berdurasi 48 saat itu disebarkan di pelbagai laman media sosial termasuklah dimuat naik di platform X.

Dalam rakaman tersebut, dapat dilihat wanita yang sedang mendukung seorang lagi kanak-kanak meluru jalan ke arah budak perempuan kemungkinan anaknya sebelum memukul mangsa.

Tangan mangsa kemudian ditarik untuk berjalan ke arah CCTV sebelum wanita itu sekali lagi bertindak memukul kanak-kanak terbabit di bahagian belakang badan hingga menyebabkannya tersungkur di lantai.

Namun kejadian menyayat hati berkenaan tidak terhenti di situ yang mana mangsa sempat bangun dan menangis sebelum sekali lagi dipukul dengan lebih kuat di bahagian belakang badan.

Pukulan yang terakhir itulah yang menyebabkan mangsa jatuh tersungkur lalu terhantuk dengan bucu di sebuah bangku terletak di hadapan pasar raya tersebut sehingga mengakibatkan mukanya berdarah.

Darah mengalir dari wajah mangsa akibat terhantuk di bucu bangku selepas jatuh tersungkur.

Selepas menyedari wajah mangsa berada dalam keadaan berdarah, barulah wanita terbabit berhenti memukul dan memeluk kanak-kanak itu sebelum membawanya beredar daripada lokasi kejadian.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan wanita terbabit memukul mangsa dan berharap pelaku diberikan balasan yang setimpal akibat perbuatannya.

Ramai juga pengguna tampil mengingatkan ibu bapa untuk lebih bersabar dalam mendidik anak-anak yang masih kecil di mana mereka seharusnya menegur terlebih dahulu jika benar kesalahan dilakukan.

“Sampai hatilah buat amanah Allah macam ini. Kejamnya, sakit tahu tak kalau sampai darah mengalir macam itu. Budak bukan tahu apa pun. Walau sekali pun anak itu berbuat salah, tegur guna nada tegas sahajalah,” kesal seorang pengguna.

“Allahu, sedihnya tengok. Mana hilang sifat empati dan rasa sayang kepada anak ? Pukul untuk mendidik, bukan melepaskan amarah dan nafsu syaitan. Semoga Allah beri balasan yang setimpal.” Kongsi pengguna lain.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan kejadian yang mana seorang kanak-kanak dipukul wanita di sebuah pasar raya itu berlaku di sekitar Jejawi, Arau.

Bahagian Siasatan Jenayah IPD Arau sedang mengesan suspek dan berharap saksi dapat tampil bagi membantu mengesan keluarga suspek supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Kenyataan dikongsikan di akaun Facebook IPD Arau berhubung kejadian yang berlaku di pasar raya tersebut.

Baca juga: Siapa kata tekak Melayu dan tekak Cina tak sama? Ini penjelasan mudah faham