Selepas dua kes melibatkan kanak-kanak di Kelantan, seorang budak lelaki berusia 12 tahun di Kluang meninggal dunia disyaki kerana strok haba.
Airiel Syahren dilaporkan meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang lapor Berita Harian.
Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak keduanya itu disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’.
Anak kedua daripada empat beradik itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau, kira-kira 10 malam Ahad lalu.
Pada mulanya, Airiel dan adik lelakinya berusia sembilan tahun serta ibu mereka demam biasa dan memakan ubat.
“Saya meminta mereka tidur di ruang tamu kerana bilik itu sejuk.
“Selepas itu, saya dengar macam bunyi benda jatuh dan kemudian saya dapati anak kekejangan.
“Selepas menelefon talian 999, panggilan disambungkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dan petugas meminta saya menunggu ambulans sampai.
“Dalam tempoh itu, anak saya tetap meronta-ronta sampai terberak, terkencing. Adiknya pun jadi macam itu tetapi sekejap sahaja,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Syahrol Azmi berkata, doktor menerangkan anaknya mengalami simptom strok haba sehingga buah pinggang terjejas dan ada radang otak.
Beliau berkata, anak ketiganya, Aidil Syahren, 9, kini stabil dan masih berada di wad.
“Anak saya dikebumikan di Tanah Perbukuran Islam Kampung Bentong,” katanya.
Baca juga: Tawar servis “teman beraya” untuk suka-suka, sekali mufti keluar fatwa ianya haram