Kanak-kanak perempuan  maut ditinggal empat jam dalam kereta

Kanak-kanak perempuan maut ditinggal empat jam dalam kereta

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut akibat lemas setelah ditinggalkan selama empat jam dalam kereta oleh ibunya di kawasan parkir sebuah kolej vokasional di sini, hari ini.

Memetik laporan Astorawani hari ini, kanak-kanak malang itu, Nur Awfa Humaisha’ Muhammad Ali Riduan ditemui ibunya yang berusia 32 tahun dalam keadaan kebiruan dan kaku sekitar 1 petang tadi sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson, namun disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Zainudin Ahmad dalam kenyataannya berkata, pada kebiasaan, setiap pagi ibu mangsa akan menghantar mangsa ke rumah pengasuhnya manakala abangnya berusia empat tahun dihantar ke taska.

Bagaimanapun pada pagi kejadian, selepas menghantar abang mangsa ke taska, si ibu terus bergegas ke tempat kerja tanpa menghantar mangsa yang duduk di bahagian belakang kenderaan ke rumah pengasuhnya.

Ibu mangsa kemudian hanya menyedari tertinggal anak keduanya itu di dalam kenderaan jenis Proton Saga selepas dihubungi oleh pihak taska yang memaklumkan anak sulungnya yang biasanya dijemput oleh pengasuh masih belum diambil.

Zainudin berkata, buat ketika ini tiada sebarang penahanan dibuat, bagaimanapun siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

CATEGORIES