Kanak-kanak terabai fokus AMANAH Kelantan

Kanak-kanak terabai fokus AMANAH Kelantan

Situasi ekonomi kritikal sekarang menyebabkan ada keluarga yang tidak mampu menyediakan makanan asas kepada anak-anak.

Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mahu ahli-ahli AMANAH peka kepada masalah di sekitar tempat tinggal masing-masing.

“Sebagai parti yang menjadikan gerak kerja peduli rakyat, menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil cakna perkara ini,” katanya ketika melancarkan kampit beras AMANAH untuk asnaf di Wisma Tok Guru, Salor semalam.

“Saya mendengar sendiri kisah satu keluarga terbiar dari seorang pengurus pusat penjagaan anak yatim dan miskin di Tumpat.

“Dia menceritakan bagaimana seorang penghuni pusat yang dijaganya tidak makan dan asyik termenung waktu kawan-kawannya makan.

“Bila ditanya adakah dia sakit atau ada masalah kesihatan kanak-kanak itu memberitahu dia tidak sanggup makan kerana mengenang adik-adiknya di rumah yang tiada makanan,” katanya.

Menurutnya pengurus pusat itu kemudian mengajak anak itu ke rumahnya dan mendapati memang benar keluarga itu kehabisan makanan.

“Ayah budak itu lumpuh kerana strok dan ibunya tidak lagi bekerja kerana menjaga suaminya yang terlantar.

“Tiga lagi anak masih ada bersama ibu bapanya dan semasa pengurus pusat itu datang sudah tiga hari mereka tiada makanan asas cuma minum air sejuk dan roti pemberian jiran,” katanya.

Kisah seperti ini kata Wan Rahim boleh terjadi di mana-mana dalam keadaan harga barang naik melambung sedangkan punca pencarian semakin sempit sekarang.

“Sebab itu meskipun kita parti dhaif tapi perlu sedar keadaan rakyat yang semakin tertekan sekarang perlu diberi keutamaan,” katanya.

AMANAH Kelantan melancarkan program beras untuk asnaf bagi memberi peluang para penderma memberi sumbangan kepada golongan miskin dan terpinggir.

Para penderma boleh membeli beras 5kg sekampit dengan harga RM14.50 untuk didermakan melalui parti AMANAH peringkat negeri, kawasan atau cawangan mengikut pilihan mereka.

“Kita labelkan di kampit beras ini “tidak boleh dijiual” kerana selepas didermakan beras ini tidak boleh dijual oleh penerima.” katanya.

Turut menyampaikan sumbangan di majis pelancaran itu adalah Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Muhammad Husain dan Ketua Awan Kelantan, Normala Mohd Nadzar.