Malaysia Dateline

Kanser masalah kesihatan yang serius dalam negara

Kerajaan menyifatkan kanser sebagai salah satu masalah kesihatan yang serius dikalangan rakyat dalam negara ini.

Sehubungan itu negara memerlukan lebih ramai pakar onkologi bagi mengatasi masalah yang dialami oleh penyakit kanser tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad selepas menyempurnakan perasmian Persidangan ke 2 AMDI International Oncology And Medical Physics Symposium (IOMPS) di Georgetown petang tadi.

Malah kata beliau lagi, negara memerlukan lebih ramai pakar onkologi yang berkelayakan bagi memenuhi keperluan tersebut.

“Pakar onkologi yang lebih ramai adalah diperlukan bagi memastikan pesakit kanser mendapat rawatan yang sebaik mungkin.

“Buat ketika ini negara hanya mempunyai seramai 115 pakar onkologi.

“Manakala kes yang dilaporkan setiap tahun adalah sejumlah 37,000 kes, ” jelasnya lagi.

Tambah beliau lagi, kanser juga merupakan penyebab keempat yang mempunyai angka kematian yang tinggi dalam negara.

Dalam lawatan kerja ke Pulau Pinang, beliau turut melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Bayan Lepas petang tadi.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz serta Adun Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail.