Hubungan asmara antara pasangan pelakon terkenal iaitu Syafiq Kyle dan Mimi Lana nampaknya masih belum berakhir.
Dakwaan tersebut diperkuatkan lagi dengan tularnya beberapa video dikongsi oleh orang awam yang berjaya merakam kelibat mereka berdua ketika keluar bersama.
Terbaru, seorang pengguna TikTok dipercayai pemilik restoran Thailand memuat naik rakaman video yang memaparkan Syafiq dan Mimi makan bersama di kedai miliknya.
Menerusi perkongsian itu, pengguna berkenaan kagum dengan kedua-dua pelakon terkenal itu yang bersikap rendah diri kerana sudi berkunjung di gerai makanan tersebut.
“Artis yang paling rendah diri dan sporting makan dekat gerai. Makanan kegemaran mereka berdua ialah miang pla (ikan bakar yang dimakan bersama bihun),” katanya.
Mengundang perbincangan hangat, rata-rata pengguna media sosial turut tumpang gembira sekiranya mereka berdua kembali bersama sebagai pasangan kekasih.
Ramai juga pelayar TikTok mendoakan urusan pasangan itu dipermudahkan dan segera menghalalkan hubungan mereka jika benar Mimi dan Syafiq masih bersama.
Bukan itu sahaja, ada juga beberapa individu terutamanya peminat Syafiq Kyle dari kalangan wanita yang meninggalkan komen mencuit hati sebagai tanda protes.
“Baby bercinta balik ke? Tak jadilah nak pesan brownies,” seloroh peminat Syafiq berikutan pelakon lelaki itu pernah berkongsi video membakar kek baru-baru ini.
“Semoga dipermudahkan segala urusan Syafiq Kyle dengan Mimi Lana. Semoga mereka berdua sampai ke jinjang pelamin. Aminn,” kongsi pengguna lain.
“Harap-harap dah berbaik. Laju-laju tengok Instagram Mimi. Betul baju yang sama Mimi pakai, sama-sama baru balik tengok wayang War of Terror.” Kata penonton lain.
Difahamkan, Mimi dan Syafiq sempat pergi ke pawagam bersama bagi menonton tayangan perdana filem aksi, War of Terror: KL Anarki lakonan Aedy Ashraf dan Farali Khan.
Malah, sosok kedua pelakon terbabit yang keluar dari panggung wayang bersama turut berjaya dirakam oleh orang awam sebelum dimuat naik menerusi laman TikTok.
Terdahulu, pasangan itu sepatutnya berkahwin pada 18 Ogos lalu sementara resepsi pada sebelah malam dijadualkan berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.
Kemudian pada 11 Ogos, pengurus Mimi iaitu Iman Tang mengesahkan pembatalan majlis pernikahan dan resepsi pasangan itu susulan tularnya isu tersebut di media sosial.
Tiada masalah peribadi, pembatalan dibuat kerana Mimi terikat dengan jadual penggambaran, selain ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan dengan Syafiq.
Baca juga: Naik gatal satu badan disangka ada gangguan, penyakit ekzema anak sembuh lepas jumpa doktor ini!