Malaysia Dateline

Kantoi: Noraini habis masa bincang politik, bukan pengajian tinggi

Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, disarankan supaya menghentikan segala bentuk sandiwara dan memberi tumpuan serta fokus bagi menangani isu yang membelenggu pendidikan tinggi negara tatkala ini.

Seruan tersebut dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Kedah, Mohamed Firdaus Johari (gambar) setelah mendapati tulisan yang dimuat naik ke laman sosial menteri terbabit bahawa beliau sedang mengadakan perbincangan dengan Datuk Noraslina Datuk Zainal Abidin, yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) mewakili sektor swasta.

Padahal Noraslina adalah Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita Umno Malaysia di mana Noraini adalah ketuanya.

“Semakan yang dibuat selanjutnya di laman sesawang UUM mendapati bukan hanya Noraslina sahaja ‘wakil Umno’ yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dengan menggunakan kedudukan atas kapasiti wakil swasta, tetapi juga mendapati Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Salak serta bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun dan Nazira Abdul Rahim, Ketua Wanita Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu turut dilantik ke jawatan sama.

“Ianya merupakan langkah ke belakang serta sandiwara yang begitu ketara apakala ia dilihat terus berpolitik dengan meletakkan hingga tiga orang pemimpin Umno sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi sebuah universiti.

“Tindakan ini sejujurnya tidak seharusnya dipraktikkan dan bertentangan dengan usaha meletakkan universiti agar ia bebas dari campur tangan politik mana-mana pihak,” tegas Firdaus lagi.

Sehubungan itu ujarnya, minat yang dipertontonkan dan lebih gemar berpolitik dengan membahagi-bahagikan jawatan kepada ‘wakil Umno’ maka tidak hairanlah berbangkitnya pelbagai isu melibatkan sektor pendidikan tinggi negara yang begitu banyak tidak dapat diatasi dengan baik.

Sejajar dengan itu kata beliau, AMK Kedah menyeru menteri terbabit supaya segera menghentikan sandiwara politik yang diamalkan serta memberi lebih fokus terhadap hala tuju pendidikan tinggi negara dan mencari jalan terbaik sebagai solusi kepada permasalahan yang sedang membelenggu mahasiswa dan tenaga akademik.