Nama peserta All Stars Gegar Vaganza, Azharina kini menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial tempatan selepas didakwa menipu.
Mana tidaknya, penyanyi berkenaan dikatakan tidak berlaku jujur ketika menjawab persoalan daripada juri pertandingan nyanyian tersebut iaitu Datuk Ramli MS.
Dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu itu, Azharina diberikan tanggungjawab untuk mempersembahkan dua buah lagu iaitu ‘Rambu Ramba’ dan juga ‘La Bamba’.
Walau bagaimanapun, persembahan penyanyi yang berusia 38 tahun itu untuk lagu kedua iaitu ‘La Bamba’ lebih menonjol dan bersemangat berbanding lagu pertama.
Oleh yang demikian, Datuk Ramli MS yang lebih mesra disapa Tok Ram itu bertanya kepada Azharina sama ada dia sering menyanyikan lagu ‘La Bamba’ ataupun tidak.
Jawab anak kelahiran Kota Kinabalu itu, lagu tersebut tidak pernah dinyanyikannya di mana-mana pentas pertandingan, persembahan, majlis rasmi atau di meja makan.
Pelantun lagu Elegi Sepi itu bagaimanapun menjelaskan, dirinya mengetahui akan kewujudan lagu ‘La Bamba’ berikutan sering mendengarnya dari piring hitam sewaktu kecil.
Namun siapa sangka, satu rakaman memaparkan Azharina yang menyanyikan lagu itu di pusat beli belah, Sogo lebih dari enam tahun lalu kembali tular di media sosial.
Azharina kemudian tampil mengakui kesilapannya dengan berkata dirinya hanya manusia biasa yang sememangnya tidak menyedari perkara itu, lapor Oh Bulan.
“Saya jawab saya tak pernah menyanyi lagu La Bamba di pertandingan, acara rasmi atau show dekat Tok Ram secara profesional. Kalau betul, sudah pasti saya akan ingat.
“Tetapi video viral itu masyarakat boleh lihat dan fikir sendiri. Saya bersama buskers pada masa itu. Lagu itu pun dibawakan secara spontan tanpa sebarang persediaan.
“Saya main hentam sahaja. Bukan di atas pentas besar atau show berbayar. Lirik dan sebutan saya masa itu pun tidak okay,” katanya memetik laporan Oh Bulan.
Sebaliknya untuk Gegar Vaganza, ibu kepada dua anak angkat itu mengaku telah berusaha dan bekerja keras hingga sanggup masuk ke kelas sebutan bahasa Sepanyol.
Azharina juga berpendapat perkara berkenaan tidak sepatutnya dijadikan isu besar memandangkan persembahan tersebut tetap mendapat kedudukan tiga terbawah.
Ujar Azharina lagi, dirinya sudah lama berhenti menyanyi untuk para juri dan sekadar tampil bagi menghiburkan para peminat dan mereka yang sentiasa mendoakannya.
“Secara jujur, saya sudah lama berhenti menyanyi untuk para juri. Saya hanya mahu menghiburkan peminat dan semua yang mendoakan saya. Bila fikir macam ini saya akan lebih gembira.
“Saya anggap ini sebagai cara untuk ‘reverse psychology’ agar tidak terlalu tertekan. Lagipun, peminat dan netizen sekarang bukan macam dahulu, mereka boleh menilai dengan sangat baik.
“Buat mereka yang ingin menjatuhkan, saya serahkan segalanya kepada Tuhan. Allah maha melihat dan mendengar setiap doa hambanya.” Jelas pemilik nama sebenar Azharina Azhar.