Kanun buka talian ‘hotline’ bantu 13 calon Amanah

Kanun buka talian ‘hotline’ bantu 13 calon Amanah

Biro undang-undang (Kanun) Amanah hari ini secara rasmi memulakan pemantauan bagi proses pilihan raya negeri (PRN) Sarawak bermula daripada proses penamaan calon pagi tadi.

Timbalan pengerusi Kanun, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, bagi meningkatkan pemantauan pematuhan undang-undang sepanjang proses pilihan raya, Kanun melalui bilik gerakannya telah membekalkan talian ‘hotline’ kepada jentera-jentera calon sebagai rujukan mengenai sebarang isu berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Kanun juga telah menghantar peguam-peguam petugas secara berperingkat ke semua Dun yang ditandingi Amanah bagi memperkemaskan proses pemantauan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu beliau berkata, Kanun berpuas hati dengan perjalanan proses penamaan calon yang dijalankan pagi tadi.

Beliau berkata, kesemua calon Amanah yang bertanding di 13 kerusi tidak mempunyai sebarang masalah dari segi kelayakan untuk dicalonkan bertanding di kerusi Dun masing-masing.

“Kesemua 13 calon Amanah adalah mereka yang bebas daripada status bankrap, tuduhan atau rekod jenayah dan lain-lain yang boleh melucutkan kelayakan mereka untuk bertanding.

“Walaubagaimanapun, Kanun akan terus memantau ketelusan perjalanan PRN Sarawak bagi memastikan ia berjalan dengan bersih dan adil,” katanya yang juga naib ketua Pemuda Amanah Nasional.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar terus meningkatkan tahap pemantauan perjalanan pilihan raya memandangkan ia sudah memasuki fasa kedua iaitu tempoh berkempen yang dijangkakan akan menjadi sedikit tegang.

“Pihak keselamatan juga diingatkan untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelakkan sebarang provokasi dan intimidasi yang tidak wajar sepanjang tempoh berkempen terhadap parti-parti yang bertanding,” katanya.

Selepas kesemua pusat penamaan calon untuk PRN Sarawak Ke-11 ditutup lewat tengah hari tadi, kesemua 13 calon yang ditampilkan Amanah diterima pencalonan oleh SPR.

Calon-calon tersebut ialah Mohammad Fidzuan Zaidi (N05 Demak Laut), Nani Sahari (N07 Samariang), Abang Abdul Halil Naili (N16 Muara Tuang), Othman Mustapha (N24 Sadong Jaya), Andrew Jain (N27 Sebuyau), Rapelson Richard Hamit (N26 Gedong), Andri Zulkarnaen Hamden (N29 Beting Maro), Jini Sahini (N40 Kabong), Sufian Julaihi (N41 Kuala Rejang), Fadillah Sabali (N42 Semop), Ibrahim Bayau (N43 Daro), Kiprawi Sabali (N44 Jemoreng) dan Nurzaiti Hamdan (N58 Balingian)

TAGS