Malaysia Dateline

KANUN gesa polis siasat tindakan derhaka titah Agong

Biro Undang-Undang (KANUN) Parti AMANAH Negara (AMANAH) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat tindakan pihak yang menderhakai titah Yang di-Pertuan Agong berhubung Ordinan Darurat.

Pengerusinya, Dr Zulqarnain Lukman berkata pihaknya memandang serius titah Seri Paduka Baginda yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara hari ini yang menzahirkan kekesalan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Zulqarnain berkata, kedua-duanya gagal untuk melaksanakan titah Agong seperti yang diperkenankan berhubung cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat perlu dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sendiri menyatakan pada 26/7/2021 telah memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal pembatalan itu belum mendapat perkenan YDPA,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Sehubungan itu, KANUN menegaskan tindakan Takiyuddin dan Idrus tidak berperlembagaan dan bercanggah sama sekali dengan ikrar dan sumpah mereka sebelum menjawat jawatan.

“KANUN juga menyatakan bahawa selain mereka berdua, Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet juga hendaklah bertanggungjawab secara kolektif terhadap tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ini sebagaimana yang diperuntukkan dalam Per. 43(3) Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Beliau menyifatkan tiada tindakan yang lebih bermaruah untuk mereka lakukan melainkan untuk meletakkan jawatan atas kegagalan Perdana Menteri dan seluruh Kabinet untuk mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong, Parlimen dan Perlembagaan sendiri.

“KANUN juga menyatakan bahawa tindakan ini juga adalah satu jenayah yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 121B Kanun Keseksaan (KK) – Kesalahan terhadap kuasa YDPA dan seksyen-seksyen yang berkaitan dengan aktiviti yang menjejaskan demokrasi iaitu seksyen 124B, 124C, 124H dan 124I Kanun Keseksaan.

“Justeru, KANUN berharap agar PDRM dapat bertindak secara profesional terhadap VIP-VIP yang hendak disiasat ini kerana rakyat amat berharapkan supaya tiada tindakan ‘double standard’ dalam mana-mana proses penguatkuasaan undang-undang,” tambah Zulqarnain lagi.