Kanun gesa SPR lebih sensitif, bersih sepanjang PRK

Kanun gesa SPR lebih sensitif, bersih sepanjang PRK

Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya lebih sensitif, adil dan bersih sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak, 18 Jun ini.

Timbalan Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, SPR diharap lebih peka dengan undang-undang dan prosedur berkaitan proses pilihan raya.

“Ini termasuklah isu-isu teknikal dan pengeluaran borang 14A. Kanun juga menyeru supaya peraturan jarak pondok panas parti kurang 50 meter dari pusat pengundi benar-benar dipatuhi,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat Amanah Sungai Besar hari ini.

Mengulas peranan Kanun sepanjang tempoh dua minggu kempen, beliau memberitahu lebih 50 peguam akan bertugas di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar sehingga 18 Jun ini.

“Pasukan Kanun akan meletakkan sekurang-kurangnya seorang peguam di setiap Daerah Mengundi iaitu 29 orang di Sungai Besar dan 26 lagi di Kuala Kangsar.

“Kanun akan pastikan perjalanan proses pilihan raya berjalan mengikut prosedur sehingga pada hari membuang undi, pengiraan dan keputusan nanti,” ujarnya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Pemuda Amanah Nasional berkata, Kanun turut mengambil berat isu berkaitan aspek keselamatan susulan Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini.

“Kita bimbang tercetusnya kemungkinan tindakan luar jangka dan tidak wajar terhadap mana-mana jentera parti yang bertanding. Kita menyeru parti-parti bertanding supaya mengelak daripada menggunakan kempen kekerasan.

“Oleh itu, Kanun memantau lebih rapi sebarang kemungkinan terjadi,” jelasnya lagi.

TAGS