Malaysia Dateline

KANUN kecam tindakan ke atas Hannah Yeoh

Biro Undang-Undang (KANUN) Parti AManah Negara (AMANAH), mengecam keras dan membantah tindakan yang dikenakan ke atas bekas Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga ( KPWKM), Hannah Yeoh yang dipanggil oleh polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman semalam.

Ia berkaitan kicauan Twitternya yang hanya mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang merupakan inisiatif dan iltizam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Ahli Jawatankuasa KANUN, Fatihah Salahuddin berkata, KANUN berpandangan bahawa pertanyaan dan persoalan berkaitan status inisiatif kerajaan yang terdahulu adalah perkara normal dan seharusnya digalakkan khususnya dalam isu wanita dan kanak-kanak.

Katanya, rakyat sudah tentu berhak untuk mendapat tahu apakah pendirian KPWKM sekarang berkaitan perkara ini memandangkan isu perkahwinan kanak-kanak di bawah umur adalah suatu isu yang penting bagi melindungi hak kanak-kanak.

Tambahan pula ujarnya, Pelan Strategi yang diketengahkan oleh KPWKM semasa era pemerintahan PH adalah untuk mengekang punca perkahwinan bawah umur.

“Adalah jelas bahawa persoalan yang ditimbulkan bukanlah suatu yang membahayakan mahupun boleh menimbulkan khianat awam sehingga beliau dibawa siasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksesaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sepatutnya sebagai Menteri/Timbalan Menteri, tugas mereka adalah perlu perjelaskan status Pelan Strategi ini dan bukannya merasa tercabar lantas memanggil siasat atas kicauan yang dihantar oleh YB Hannah Yeoh.

“Hak kanak-kanak serta perlindungan hak kanak-kanak sepatutnya menjadi iltizam KPWKM untuk menjaganya daripada terus dieksploitasi oleh mana-mana pihak termasuklah ibu, bapa dan penjaga.” kata beliau dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, isu ini seharusnya menjadi isu rentas parti politik, tambahan lagi, yang menakhodai KPWKM itu adalah wanita dan ibu dan inisiatif untuk mengekang perkahwinan bawah umur ini haruslah ditatang oleh KPWKM.

“Sebagai seoarang Mantan Timbalan Menteri KPWKM dan seorang ibu, Hannah Yeoh berhak menyuarakan keprihatinan beliau terhadap status Pelan Strategi yang dirangka dahulu. Rakyat dan kaum ibu di luar sana juga berhak untuk tahu status Pelan Strategi tersebut.

“Amat malang sekiranya isu hak dan kepentingan wanita pun dijadikan ancaman terhadap kerajaan yang hanya akan merugikan pembangunan wanita itu sendiri,” kata beliau.

Semalam bekas Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeoh memberitahu dirinya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman.

Ia susulan satu siri twitternya pada Mac lalu yang menyatakan kebimbangannya berkaitan hala tuju untuk menangani perkahwinan bawah umur yang diketepikan.