Malaysia Dateline

Kanun kecam usaha terdesak PN lakukan pendakwaan terpilih terhadap Syed Saddiq

Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) mengecam usaha terdesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melakukan tindakan pendakwaan terpilih terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Naib Pengerusinya, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, adalah agak janggal apabila pendakwaan tersebut dilakukan seminggu sebelum sidang khas Parlimen berlangsung yang dijadualkan pada 26 Julai depan.

Beliau berkata, jelas pendakwaan yang dikenakan itu amat diragui dan bermotifkan politik untuk menekan Syed Saddiq supaya memberi sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

“Lebih-lebih lagi dengan pendedahan oleh YB Syed Saddiq bahawa ugutan dan desakan ini telah diterima beliau beberapa kali sebelum ini terutama menjelang sidang Parlimen.

“KANUN dengan tegas menempelak sebarang pendakwaan terpilih terutama bagi mengekalkan kuasa dan sebarang usaha politiking oleh pihak Perikatan Nasional.

“KANUN sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu bersedia untuk memberi sebarang bantuan guaman sekiranya diperlukan oleh Syed Saddiq,” tegasnya dalam satu kenyataan lewat malam tadi

Pada semalam, Syed Saddiq memaklumkan bahawa beliau akan didakwa di mahkamah pagi ini berkaitan satu program makan malam pada tahun 2018 bagi mengumpul dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, pendakwaan ke atasnya itu bersifat politik di mana pendakwaan sepatutnya boleh dilakukan dengan kadar segera kerana semua saksi telah dipanggil sejak tahun lalu.

Namun Syed Saddiq tidak menolak bahawa pendakwaan itu dijadikan modal untuk beliau menyokong kerajaan PN termasuk semasa pengundian pertukaran Speaker Dewan Rakyat, sebelum pengundian Bajet 2021 dan terkini ketika Parlimen akan bersidang dalam masa terdekat.