Malaysia Dateline

Dr Zulqarnain Luqman

KANUN khuatir Ordinan Darurat disalahguna terhadap whistleblowers

Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (KANUN) mengkritik Ordinan Darurat 2021 yang diwartakan kerajaan semalam kerana didakwa mengurangkan kebebasan asasi bersuara dan hak untuk menyuarakan pendapat.

Pengerusinya, Dr Zulqarnain Lukman berkata, beliau bimbang dengan kuasa begitu luas yang diberikan kepada pihak berkuasa di mana ianya mungkin akan disalahgunakan kerana Ordinan tersebut tidak mempunyai mekanisma semak dan imbang yang efektif.

Malah katanya, KANUN khuatir jika Ordinan tersebut akan disalahgunakan ke atas pihak yang bertindak sebagai whistleblower yang mendedahkan kepincangan kerajaan dalam menguruskan Covid-19.

“Pihak whistleblower ini boleh diambil tindakan secara tidak adil seperti mana yang pernah dilaporkan berkaitan ada pihak yang cuba memotong barisan penerimaan vaksin Covid-19.

“Kuasa yang luas juga diberikan kepada pihak berkuasa untuk menyita apa-apa bahan bukti dan kuasa seperti kuasa untuk mengawal perkakasan elektronik tanpa mekanisme kawalan.

“Kuasa Mahkamah yang diberikan di bawah Ordinan itu juga adalah bersifat administratif dan tidak mengggambarkan fungsi sebenar Mahkamah sebagai badan bebas yang menilai penyataan pihak-pihak yang bertelingkah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada masa sama Zulqarnain berkata, sepanjang tempoh setahun Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah, berbilion ringgit wang negara telah dibelanjakan tidak mengikut prosedur perolehan aset biasa.

Tetapi katanya, kerajaan telah menggunakan prosedur darurat yang lebih longgar dan tidak mensyaratkan perolehan aset secara tender terbuka

“KANUN menyeru kerajaan untuk menggubal Ordinan yang tidak mengkesampingkan hak dan kebebasan asasi rakyat untuk bersuara.

“Ini kerana, kebebasan bersuara adalah mustahak dalam memastikan prinsip demokrasi tetap utuh di Malaysia dan ke arah mewujudkan integriti yang lebih tinggi di pihak kerajaan,” katanya lagi.