KANUN minta JAIS senarai ‘penceramah agama bertauliah’ di Selangor

KANUN minta JAIS senarai ‘penceramah agama bertauliah’ di Selangor

Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara (Amanah) mahu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut mengambil tindakan terhadap penceramah yang terang-terang berceramah politik beralaskan tema agama di masjid dan surau di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, sebahagian mereka tidak menghiraukan peraturan mengenai tauliah sebaliknya bertindak menggunakan ceramah agama sebagai tempat untuk mengutuk Amanah.

Kanun menggesa supaya Majlis Agama Islam Negeri Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyenaraikan senarai terkini penceramah yang bertauliah untuk menjadi rujukan ramai di portal mereka.

“Kanun turut menggesa supaya Mais dan Jais dapat mengambil tindakan segera untuk mengarahkan pentadbiran dan ahli-ahli jemaah masjid dan surau seluruh Selangor supaya melaporkan kejadian penceramah yang tidak bertauliah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hukuman yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang juga Pengarah Komunikasi Amanah yang didapati mengajar agama tanpa tauliah di sebuah surau di Selangor.

Khalid didapati bersalah di bawah Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan dihukum denda sebanyak RM2,900.00 oleh Mahkamah Rendah Syariah Klang dan kegagalan untuk membayar denda tersebut boleh dikenakan penjara selama tiga (3) bulan.

Wan Anwar berkata, sangat menghairankan apabila penceramah lain yang turut ‘mengajar tanpa tauliah tidak dikenakan tindakan sama.

“Kanun hairan kerana tiada tindakan penangkapan dan pendakwaan terhadap penceramah berkenaan sebagaimana yang diambil ke atas Khalid.

Menurut beliau juga, perbuatan yang dilakukan oleh Khalid tidak seharusnya dikategorikan sebagai “mengajar agama Islam” yang memerlukan beliau untuk memohon tauliah sepertimana kehendak Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 kerana jelas beliau hanya berkongsi pengalaman semasa berada di negara Palestin.

“Kanun bimbang bahawa tafsiran tersebut boleh menggugat hak dan kebebasan bersuara yang dijamin di bawah peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Justeru katanya, pasukan peguam Kanun bersedia untuk membantu dalam proses rayuan kes beliau ke peringkat yang lebih tinggi.

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)