Kanun puji Dun Perak perkasa Mahkamah Syariah, saran diikuti negeri lain

Kanun puji Dun Perak perkasa Mahkamah Syariah, saran diikuti negeri lain

Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak dan Dun Negeri Perak kerana menjadi pelopor dalam mewujudkan Mahkamah Utama Syariah.

Menurut Timbalan Pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim langkah itu sekaligus akan mengangkat martabat institusi Mahkamah Syariah sebagai syiar penting pentadbiran agama Islam.

“Ini juga akan menjamin keadilan yang lebih saksama kepada pihak-pihak yang bertikai. Sebelum ini, kes-kes yang bermula di Mahkamah Tinggi Syariah hanya boleh dirayu untuk satu peringkat sahaja. Ini juga akan memberikan gambaran yang baik kerana Mahkamah Sivil telah lama mengamalkan sistem rayuan tiga peringkat (3-tier).

“Kanun berpandangan bahawa tindakan kerajaan PH Perak itu sekaligus akan mematikan hujah songsang yang menyatakan bahawa PH mengabaikan syiar agama Islam.

“Apatah lagi, komposisi Adun DAP di negeri Perak adalah melebihi jumlah Adun-Adun daripada lain-lain parti komponen PH. Ini menunjukkan bahawa DAP tidak pernah memusuhi agama Islam malah turut bekerjasama untuk menaikkan syiar agama Islam selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Kanun juga menggesa supaya negeri-negeri lain turut mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mewujudkan Mahkamah Utama Syariah di negeri masing-masing termasuklah bagi Wilayah Persekutuan.

Kanun juga berharap kesemua negeri-negeri dapat menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji lain-lain pindaan yang perlu dibuat terhadap enakmen Syariah di negeri-negeri bagi tujuan untuk memartabatkan institusi Mahkamah Syariah.

Dalam hal ini, Kanun menawarkan kepakaran ahli-ahlinya untuk turut berada dalam jawatankuasa tersebut kerana ahli Kanun adalah peguam-peguam sivil dan syariah yang kompeten dalam bidang masing-masing.

Pada Rabu dalam Dun Negeri Perak Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi mengemukakan usul Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2018.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang hanya memperuntukkan tiga lapisan Mahkamah di dalam sistem kehakiman syariah di negeri itu iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Asmawi mencadangkan pindaan dibuat kepada seksyen 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dengan memperuntukkan penubuhan satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan Syariah yang dikenali sebagai Mahkamah Utama Syariah.

Menurut Wan Anwar lagi Mahkamah ini bakal berfungsi sebagai mahkamah rayuan kedua selepas proses rayuan pertama dibuat di Mahkamah Rayuan Syariah bagi kes-kes yang bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.

Antara kes-kes yang lazim bermula di Mahkamah Tinggi Syariah adalah kes hadhanah (hak jagaan anak) dan harta sepencarian selain daripada tuntutan mal yang melibatkan nilai wang yang besar, katanya.