Malaysia Dateline

KANUN seru semua peguam sertai ‘Walk For Judicial Independence’ esok

Biro Undang-undang Parti AMANAH (KANUN) menyeru semua peguam khasnya peguam KANUN untuk sertai perhimpunan aman bertemakan ‘Walk For Judicial Independence’ (‘Berjalan Untuk Kebebasan Kehakiman) yang akan diadakan esok 17 Jun 2022 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi KANUN Dr Zulqarnain Lukman pihaknya juga menaruh keyakinan yang tinggi kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat supaya teguh mempertahankan institusi ini daripada diserang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

KANUN seru semua peguam sertai ‘Walk For Judicial Independence’ 17 Jun ini
Dr Zulqarnain Lukman

Justeru, KANUN menyokong inisiaitif Majlis Peguam yang menganjurkan perhimpunan aman ini yang merupakan kali kedua perhimpunan ini dibuat.

Perhimpunan sebelum ini pernah dibuat di tempat yang sama pada tahun 2007 berikutan tersebarnya klip video berkaitan V.K Lingam.

Hasil daripada perhimpunan itu menunjukkan institusi kehakiman telah banyak dibuat penambahbaikan termasuk dengan penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

“Perhimpunan ‘Walk For Judicial Independence’ ini amat mustahak kerana ada pihak tertentu secara halus telah cuba mencemarkan nama baik institusi kehakiman dengan menyebarkan berita hantu bahawa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah seorang yang korup dan telah turut menerima wang daripada dana 1MDB.

“Berita hantu ini pertama kali telah disebarkan oleh satu blog hantu iaitu Blog Raja Petra Kamaruddin dan dengan pantas sekali SPRM telah membuka kertas siasatan.

“Tidak dinafikan bahawa SPRM mempunyai kuasa menyiasat hal berkaitan rasuah tetapi cara SPRM menyiasat dan membuat kenyataan terbuka berkaitan hal itu adalah satu perkara di luar norma kebiasaan sedangkan SPRM boleh menggunakan sumber dalaman untuk membuat siasatan sama ada benar atau tidak berlaku transaksi sedemikian dalam akaun Hakim Nazlan,” katanya.

Berita mengenai siasatan ini telah dihebohkan dan ditularkan oleh ramai pihak.

Malangnya kata beliau siasatan SPRM itu telah dibuat pada bulan April 2022 dan sehingga kini hasil siasatan itu tidak diketahui.

“Pastinya ada pihak tertentu yang akan mendapat manfaat daripada mensensasikan berita ini khasnya Hakim inilah yang memutuskan Dato’ Sri Najib Tun Razak ini bersalah dalam kes SRC International.

“KANUN percaya bahawa rancangan untuk merendah-rendahkan badan kehakiman ini telah dibuat secara halus dan tersusun oleh tangan-tangan ghaib dan hal ini perlu dicegah supaya maruah badan kehakiman tetap terpelihara. Kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman adalah penting kerana badan kehakiman adalah pihak ketiga yang menjaga kepentingan antara pihak eksekutif dan rakyat,” katanya.

Tambahnya, sekiranya rakyat terpengaruh dengan dakyah bahawa badan kehakiman ini boleh dibeli dengan wang ringgit maka Malaysia akan menghadapi krisis keyakinan masyarakat global.

Baca juga: Terlalu ramai gagal kuasai 3M, cikgu ini dedah realiti ‘wabak’ buta huruf murid Tahap 1