Kanun sifatkan BN Sarawak terima kemenangan tempang

Kanun sifatkan BN Sarawak terima kemenangan tempang

Biro Undang-undang (Kanun) Amanah mengakui kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11 Sabtu lalu namun menyifatkan ia sebagai kemenangan tempang.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Biro Undang-undang (Kanun) Amanah mengakui kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11 Sabtu lalu namun menyifatkan ia sebagai kemenangan tempang.

Timbalan pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, kerajaan negeri Sarawak tidak menepati kehendak serta lunas-lunas demokrasi dan undang-undang.

Ia termasuk kerajaan negeri yang bertindak keterlaluan di luar perlembagaan dan juga undang-undang dengan mengenakan sekatan terpilih terhadap pemimpin-pemimpin utama pembangkang termasuklah jentera parti daripada memasuki Sarawak.

“Tindakan ini menjejaskan sebahagian besar kempen pembangkang pada pilihan raya Sarawak.

“Kanun melihat kemenangan BN itu adalah satu kemenangan yang tempang kerana tidak menepati kehendak dan lunas-lunas demokrasi dan undang-undang,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Selain itu Kanun turut menerima aduan bahawa di sebahagian pusat pembuangan undi di beberapa daerah mengundi tertentu pula, ketua tempat mengundi (KTM) enggan pada mulanya untuk mengeluarkan Borang 14 kepada ejen pengiraan.

“Kanun turut mendapat maklumat daripada ejen pengundian yang BN cuba untuk membuka pondok panas kurang daripada 50 meter daripada pusat pembuangan undi bagi tujuan meraih undi yang langsung tidak dipantau oleh mana-mana pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” katanya lagi.

Justeru Kanun mengingatkan SPR bahawa proses pilihan raya negeri Sarawak ini khususnya dan negara ini umumnya masih belum dibersihkan seratus peratus dan memerlukan reformasi pilihan raya yang berterusan.

Menurut Wan Anwar juga, kuasa imigresen kerajaan negeri Sarawak harus dikaji dan disemak semula secara Perlembagaan dan perundangan terutamanya yang melibatkan kebenaran untuk memasuki dan berada di negeri tersebut semasa tempoh pilihan raya.

“Selagi mana kuasa imigresen yang tidak terbatas diberikan, maka selagi itulah Kanun melihat proses demokrasi tidak akan dapat berjalan dengan baik di Bumi Kenyalang,” katanya.

Dalam keputusan rasmi yang diumumkan Sabtu lalu, BN kekal menerajui pentadbiran negeri Sarawak apabila menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) manakala masing-masing tujuh DAP dan tiga PKR.

TAGS