Malaysia Dateline

KANUN tuntut kerajaan tangani segera isu pelarian Rohingya

Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (AMANAH) menuntut kerajaan menangani segera isu pelarian Rohingya bagi mengelak maraknya sentimen fasis dan perkauman yang boleh mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam.

Pengerusinya, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, sebarang dasar berhubung etnik tertindas itu harus mengambil kira aspek perundangan berkaitan imigresen, pekerjaan, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan untuk segera menetapkan dasar terhadap pelarian Rohingya termasuk cadangan sebelum ini untuk mendapatkan komitmen negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang lain.

Beliau berkata, cadangan membantu kaum Rohingya itu pernah disebutkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Isu Rohingya bukanlah isu yang baharu. Malah, pada tahun 2016 sewaktu berlaku krisis Rohingya di Myanmar ramai pihak yang telah memberikan perhatian khusus kepada isu ini.

“Pada akhir tahun 2016 itu, mantan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak bersama-sama Presiden Pas Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang telah membuat satu perhimpunan khas di Kuala Lumpur untuk menyatakan solidariti bersama-sama kaum Rohingya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, tegas Dr Zulqarnain, pihaknya tidak mahu isu Rohingya berada di awang-awangan isu politik sahaja tanpa langkah konkrit diambil sehingga menyebabkan ada pihak yang meraih keuntungan dan menindas pelarian Rohingya.

“Isu Rohingya adalah isu kemanusiaan yang perlu ditangani menurut undang-undang Malaysia dan antarabangsa termasuk oleh ASEAN.

“Kaum Rohingya telah menghadapi kekejaman di negara mereka sendiri dan dihalau dari kampung halaman mereka sehingga menyebabkan mereka menjadi pelarian ke beberapa buah negara termasuk Malaysia.

“Ada masyarakat Rohingya di Malaysia yang telah mendapat status pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan ada yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

“Selain kaum Rohingya, ada juga pendatang asing lain dari Myanmar yang bukannya berstatus pelarian dan hanya datang ke Malaysia bagi mencari pekerjaan.

“Ada yang masuk melalui saluran yang sah dan ada yang masuk melalui saluran yang haram. Oleh itu, status pelarian Rohingya dan pendatang asing Myanmar memerlukan tindakan yang berbeza,” kata peguam itu.

Dalam masa sama, Dr Zulqarnain mengingatkan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan tiada seorang pun tanpa mengira sama ada orang itu warganegara atau tidak boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya tanpa menurut undang-undang.

Tambahnya lagi, Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan tiada seorang pun boleh ditahan sebagai hamba abdi.

Sejak beberapa hari lalu, badai kebencian dilihat melanda sebahagian rakyat Malaysia termasuk secara terbuka mahu membunuh pelarian Rohingya akibat hasutan dan fitnah yang disebarkan di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.