Malaysia Dateline

Dr Zulqarnain Luqman

KANUN yakin Parlimen penyelesaian terbaik berbanding Mageran

Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) berpendapat gesaan supaya Parlimen bersidang segera adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berlaku, berbanding cadangan penubuhan kerajaan ala Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Pengerusinya, Dr Zulqarnain Lukman berkata, adalah lebih baik sekiranya negara kembali kepada perlembagaan asal yang disokong oleh semua iaitu mengadakan persidangan Parlimen yang membolehkan darurat ditamatkan.

Menurutnya, meneruskan cadangan penubuhan kerajaan ala Mageran bermakna negara masih lagi di dalam tempoh darurat.

“Bila berada dalam keadaan darurat, keadaan Covid-19 makin teruk sebab tak ada mekanisma semak dan imbang dalam kerajaan.

“Banyak isu tak terjawab contohnya pasal vaksinasi, sehingga ada kenyataan bercanggah antara menteri. Kalau dalam Parlimen, ini tak akan berlaku. Akan ada satu je jawapan betul

“Saya memilih untuk berada dalam keadaan pertama iaitu menamatkan darurat dan kembalikan kepada kuasa sedia ada. Legislatif diberikan kepada Parlimen, Kabinet memegang kuasa Eksekutif,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook NextStep semalam.

Menjangkakan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sudah tiada majoriti, Zulqarnain berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh berunding dengan semua parti-parti untuk membuat gencatan politik dan semuanya boleh berada bersama dalam satu Kabinet.

Beliau berkata, parti-parti akan berfungsi sebagai satu Kabinet dengan semua anggota politik tanpa ada usaha yang membolehkan untuk menumbangkan kerajaan yang baru dibentuk.

Dengan itu katanya, satu undang-undang akta anti lompat parti juga boleh digubal yang melarang mana-mana ahli berpaling tadah dan melompat ke parti lain.