Malaysia Dateline

Kapal bawa diesel bernilai RM91,800 ditahan di perairan Miri

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua buah kapal  yang melakukan pemindahan 51,000 liter diesel bernilai RM91,800 tanpa kebenaran di perairan Miri tengah  malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Md Fauzi bin Othman berkata kedua-dua kapal tersebut ditahan di 7.4 batu nautika dari Tanjung Kuala Baram pada pukul 12.35 tengah malam Ahad (18 Nov) dan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal itu tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran atau lesen pemindahan minyak diesel dari kapal ke kapal.

“Seramai 12 kru kapal, Iapan warganegara serta empat warga Indonesia berusia 29 hingga 42 tahun ditahan dan kesemua kru tersebut memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Menurutnya kejayaan operasi tersebut adalah berdasarkan maklumat diterima daripada Unit Perisikan  dan APMM akan meningkatkan lagi rondaan di perairan Miri bagi memastikan keselamatan serta tiada kegiatan menyalahi undang-undang negara dilakukan.

— BERNAMA