Malaysia Dateline

Kapal China kena beredar demi keamanan Laut China Selatan

Laporan Jabatan Audit Negara yang menyatakan bahawa terdapat sehingga 89 pencerobohan oleh China di kawasan maritim Zon Ekonomi Ekslusif Malaysia di antara tahun 2016-2019 jelas menunjukkan bahawa China adalah kuasa besar yang sedang menunjukkan kekuatannya.

Ini terbukti apabila kapal pengawal pantai China (China Coastguard – CCG) dikesan berada berdekatan Beting Patinggi Ali yang merupakan milik Malaysia pada awal tahun ini.

Ini berdasarkan data yang diperoleh Malaysiakini daripada perkhidmatan pengesan MarrineTraffic, berdasarkan pemantauan satelit siaran Sistem Pengenalan Automatik (AIS) daripada kapal.

Tambah laporan tersebut, kapal-kapal tersebut terdiri daripada pengawal pantai China dan Angkatan Laut Pembebasan Rakyat China (People’s Liberation Army) yang telah menceroboh perairan negara yang berdaulat.

Sebagai respon, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Kementerian Luar Negeri telah mengambil tindakan sewajarnya.

Untuk rekod, sebanyak enam bantahan diplomatik telah dikeluarkan dalam tempoh tersebut. Walaubagaimanapun, ia tidak memadai untuk kerana CCG terus menerus menceroboh perairan negara.

Malah, Ketua Audit Negara turut menyatakan bahawa Kerajaan China telah mengabaikan segala nota-nota protes negara berkaitan pencerobohan di kawasan maritim negara.

Oleh itu, kenyataan daripada Menteri Luar Hishamuddin Hussein yang mengambil mudah pencerobohan China sedikit sebanyak tidak membantu mempertahankan kepentingan negara.

Datuk Seri Anifah Aman turut menyatakan bahawa Hishamuddin Hussein “menafikan” fakta semasa. Beliau yang merupakan mantan Menteri Luar turut menyatakan bahawa Menteri Luar tersebut telah mengabaikan “kepentingan strategik negara”.

Oleh itu, isu ini tidak seharusnya ditutup daripada masyarakat terutamanya jika ia melibatkan isu pencerobohan perairan negara demi “menjaga hati” kuasa besar seperti China.

Di peringkat serantau, pemimpin-pemimpin negara anggota ASEAN dan China kini di dalam proses untuk memuktamadkan Code of Conduct (COC) di Laut China Selatan.

Menurut jadual, COC ini seharusnya dimuktamadkan pada tahun 2021, walaubagaimanapun, menurut sumber dalaman, Sekretariat ASEAN di Jakarta kurang pasti jika tahun 2021 itu merujuk kepada samada akhir tahun 2020, atau pada tahun 2021 itu sendiri.

Malah Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN, Lim Jock Hoi kurang memainkan peranan penting dalam memastikan isu Laut China Selatan dapat mencapai kata sepakat yang substantif.

Oleh itu, proses perundingan COC sentiasa akan berada di peringkat jawatankuasa kerja tanpa sebarang perkembangan positif.

Kata kunci penting seperti “perkembangan substantif” yang pernah disebut di peringkat mesyuarat jawatankuasa kerja pada Julai 2019 di antara China dan negara-negara ASEAN di Pulau Pinang telah dikeluarkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Bangkok pada Disember 2020.

Jika perkembangan ini berterusan, isu pertikaian di Laut China Selatan hanya akan memberi ruang kuasa besar lain untuk turut serta dalam isu ini, terutamanya dalam menegakkan hak mereka untuk “belayar bebas” atau freedom of navigation.

Walaupun Menteri Luar China Wang Yi telah berulang kali menyatakan bahawa China adalah negara pelopor keamanan, perkembangan semasa amat membimbangkan.

Ini mungkin hanya terpakai dengan mengambil kira perspektif sejarah dimana China tidak pernah berperang dengan mana-mana negara anggota ASEAN.

Kini, perkara utama dalam mendepani isu ini adalah jika China dalam melakukan refleksi diri, seperti dicadangkan oleh Professor He Kai, Universiti Griffith yang menyatakan justifikasi tindakan China di Laut China Selatan adalah kerana ia merasakan bahawa “seluruh dunia menentang kebangkitan China”.

Seterusnya, China haruslah mengundurkan kapal-kapalnya di Laut China Selatan sekaligus kembali menstabilkan keadaan di kawasan maritim tersebut.


Tulisan ini adalah pandangan penulis, tidak semestinya pandangan Malaysia Dateline.