Kapal Flotilla bantu Rohingya, dialog Harakah rapatkan Pas-Umno

Kapal Flotilla bantu Rohingya, dialog Harakah rapatkan Pas-Umno

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual bakal membaca doa perasmian pada majlis pelepasan kapal ‘Nautical Aliya’ bagi Misi ‘Food Flotilla For Myanmar’ di Pelabuhan Kelang selepas solat Jumaat hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi bersama-sama Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Qayyum, Bandar Armada Putra.

Mereka berdua seterusnya akan membuat lawatan di atas kapal yang dimuatkan lebih 2,000 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan itu.

Najib kemudiannya dijadual berucap pukul 3 petang diikuti taklimat ringkas mengenai perjalanan misi tersebut oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Tiada slot ucapan untuk Abdul Hadi walaupun beliau juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia melainkan bacaan doa perasmian selepas taklimat Azeez.

Pertemuan secara terbuka antara Abdul Hadi dan Najib Razak hari ini susulan daripada Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, 4 Disember tahun lalu.

Terdahulu, Abdul Hadi dan Najib telah sepentas bahkan berpakaian sedondon dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia di ibu negara pada 27 Disember 2015.

Pas turut menyertai Flotilla For Myanmar diketuai Kelab Putera 1Malaysia pimpinan Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Puteri Umno, cytro PM turut hadir?

Dalam perkembangan berkaitan, program Bicara Harakah bertajuk, “Himpunan RUU 355 (H355): Syariah Perkasa Rakyat Sejahtera” di pejabat akhbar rasmi Pas petang semalam menyaksikan kehadiran ramai ‘orang Umno’.

Walaupun kehadiran mereka diuar-uarkan atas kapasiti sebagai NGO Melayu Islam yang diusahakan Sekretariat H355 tetapi sumber memberitahu wakil Puteri Umno Malaysia dan cytro rasmi Najib Razak turut serta.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan panelis program itu adalah Pengerusi Gabungan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya yang juga Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

TAGS