Kapal Israel pernah dibenar berlabuh di Malaysia pada 2002, ini alasan Tun Dr Mahathir

Oleh WAN SITI AMINAH

Negara baru-baru ini mencuri perhatian dunia selepas melarang syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan akan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuatkuasa serta-merta.

Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip asas kemanusiaan menerusi kekejaman terhadap warga Palestin.

Jelas Anwar, negara juga bakal mengenakan larangan pada mana-mana kapal yang melakukan perjalanan ke Israel memuatkan kargo mereka di pelabuhan Malaysia.

Walaupun tindakan tegas ini meraih pujian masyarakat dunia, rakyat masih tertanya-tanya mengapa negara pernah membenarkan kapal itu berlabuh pada tahun 2002.

Tampil memberi penjelasan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri ketika itu tidak menafikan bahawa pihaknya membenarkan kapal tersebut berlabuh.

Namun, keputusan diambil kerana Malaysia masih menaruh harapan agar konflik di antara Palestin dan Israel dapat diselesaikan melalui proses damai pada masa itu.

Kerajaan ketika itu turut memberikan kebenaran kepada pasukan kriket Israel untuk menyertai kejohanan antarabangsa di sini bagi menunjukkan nilai etika yang baik.

Berjaya mengundang perbincangan hangat, penjelasan tersebut dikongsi oleh Tun Dr Mahathir menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun media sosial X miliknya.

“Perlu dijelaskan bahawa Kerajaan pada tahun 2002 membenarkan ZIM berlabuh kerana ketika itu Malaysia masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Israel.

“Laluan kepada ZIM juga sekadar kebenaran kepada perjalanan sesebuah kapal tanpa memperlihat sebarang sokongan kepada regim Israel dan tindakannya membunuh rakyat Palestin.

“Kerajaan ketika itu turut membenar pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat bahawa penduduk Malaysia yang majoriti beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain,” katanya.

Segala usaha tersebut malangnya menjadi sia-sia apabila negara haram Israel terus memperlihat sifat kebinatangannya menerusi penindasan dan pembunuhan rakyat Palestin.

Untuk makluman, kerajaan Malaysia mula membenarkan kapal ZIM untuk berlabuh di pelabuhan negara pada tahun 2002 diikuti dengan kebenaran mendarat pada 2005.

Beberapa tahun sebelum itu tepatnya pada 1997, kerajaan turut memberi kebenaran kepada pasukan kriket Israel menyertai kejohanan antarabangsa di Kuala Lumpur.

Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan turut menerajui pentadbiran kepimpinan parti Barisan Nasional (BN).

SG4 membawa makna ‘State-Government 4’ yang terdiri dari empat kerajaan negeri ditadbir oleh parti Pas di mana Tun Dr Mahatir adalah penasihat tidak rasminya.

Baca juga: Tak tahan dihina, siap dicop ‘betina’, Shikin Maembong tak teragak nak lapor SKMM