Malaysia Dateline

Najib sila jelaskan kenapa kapal LCS Mesir boleh siap 29 bulan, tapi Malaysia lebih 10 tahun belum siap

Alangkah malunya Malaysia apabila jauh ketinggalan di belakang Mesir yang sudah pun mempunyai dua buah Kapal Tempur Pesisir (LCS) Gowind dalam operasi walaupun Mesir lebih lambat mengeluarkan kontrak pembinaan kapal tersebut. 

Malaysia yang membeli enam buah LCS yang dibuat seawal 2011, walaupun kontraknya dilengahkan dan hanya ditandatangani pada tahun 2014, dilihat jauh ketinggalan berbanding Mesir yang telah menandatangani kontrak bernilai satu billion Euro bagi membeli empat LCS, dan kini sudah pun mempunyai dua buah kapal yang telah beroperasi. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Malaysia melancarkan LCS Gowind pertamanya di Lumut pada 24 Ogos 2017, namun kapal tersebut belum lagi siap dan mencipta sejarah masa terpanjang untuk sebuah kapal dilancarkan. 

“Mungkin Datuk Seri Najib Razak boleh menjelaskan mengapakah LCS Gowind pertama Mesir mengambil masa hanya 29 bulan untuk dibina sedangkan LCS Gowind Malaysia pula mengambil masa lebih dari 10 tahun untuk disiapkan. 

“Keenam-enam LCS Gowind Malaysia, iaitu Maharaja Lela, Syarif Masahir, Raja Mahada, Mat Salleh, Tok Janggut dan Mat Kilau belum ada sebuah pun yang telah siap dibina. 

“Yang jelas terbukti bahawa Najib adalah ‘tangan tersembunyi’ di sebalik skandal LCS yang melibatkan dana sejumlah RM9 billion dan beliau bukan sahaja merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, tetapi juga merupakan Menteri Pertahanan sebanyak dua kali iaitu antara tahun 1991hingga 1995 dan kali keduanya sejak tahun 2000 ke 2008,” ujar beliau. 

Katanya lagi, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula sebagai Menteri Pertahanan dari tahun 2009 hingga 2013 telah mengubah keputusan yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membina enam buah LCS Sigma dan memilih reka bentuk LCS Gowind yang ditawarkan pengeluar Scorpene dari Perancis pada 11 Julai 2011 tanpa merujuk kepada TLDM. 

Sejajar dengan itu Zahid perlu jelaskan juga kenapa keputusan untuk membina LCS Sigma memakan masa selama hampir setahun mulai Oktober 2009 sehingga Mei 2010, dengan enam kali mesyuarat bersama pihak TLDM.

Menteri Pertahanan akhirnya memberi kelulusan pada 26 Mei 2011 sebelum keputusan ini kemudiannya diubah dalam masa hanya tiga hari pada 11 Julai 2011 selepas menerima wakil dari pihak kontaktor tanpa merujuk pihak TLDM terlebih dahulu. 

Oleh kerana itu tegas beliau, keputusan Kabinet untuk menyah-rahsiakan dua laporan iaitu Laporan Jawatankuasa Perolehan, Tadbir Urus dan Kewangan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara dan juga Laporan Audit Forensik mengenai projek LCS amat dialu-alukan. 

Baca juga: Masih gagal laksana hudud dan RUU355, apakah Pas sudah setaraf MCA, MIC dan GPS

Baca juga: Lapisan ais terbesar dunia dibimbangi naikkan paras air laut

Baca juga: Kebanjiran warga asing di Pulau Pinang penyebab kemelut Urban Malaria