Malaysia Dateline

Kapal mewah ‘Equanimity’ akan tiba di Pelabuhan Kelang petang esok

Kapal layar mewah ‘Equanimity’, yang dikaitkan dengan usahawan yang menjadi buruan kerajaan negara ini, Low Taek Jho atau Jho Low sedang dalam perjalanan dari Indonesia ke Pelabuhan Klang.

Kapal itu, yang dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka berlabuh di Pelabuhan Klang pada pukul 3 petang pada Selasa.

Difahamkan beberapa pegawai kanan dari Polis Marin juga berada di dalam kapal selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia di perairan Selat Singapura.

Sumber yang dipetik News Straits Time hari ini, berkata, kapal yang telah dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), juga dikawal oleh tiga kapal patrol Polis Marin ke Pelabuhan Klang.

Kerajaan Indonesia menyerahkan kapal layar tersebut kepada pihak berkuasa Malaysia berikutan permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika lawatannya ke republik itu pada Jun lalu

Dr Mahathir, dalam satu kenyataan melalui akaun Facebooknya pada Isnin, telah mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatannya dari Indonesia Joko Widodo dan pihak berkuasa Indonesia untuk menyerahkan kapal itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Indonesia atas kerjasama yang erat dengan Malaysia dan menyelesaikan salah satu masalah kami.

“Kami percaya bahawa kapal ini dimiliki oleh Malaysia kerana dibeli oleh pihak tertentu menggunakan dana Malaysia yang dicuri.

“Jika sesiapa yang ingin menuntut bahawa kapal layar itu adalah milik mereka, mereka bebas untuk memberikan bukti yang menyatakan demikian.

“Kami (kerajaan) ingin tahu bagaimana mereka mempunyai banyak wang untuk membeli kapal semahal itu, “katanya menerusi penyiaran video yang dimuat naik.