Kapal mewah Equanimity, bas amfibia, contoh urus tadbir dan pembaziran terburuk

Kapal mewah Equanimity, bas amfibia, contoh urus tadbir dan pembaziran terburuk

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kapal mewah Equanimity yang punya kaitan dengan 1MDB dan bas amfibia Terengganu adalah dua contoh urus takbir buruk dan pembaziran di tahap tertinggi melanda negara hari ini.

Kata beliau, kedua-dua kapal mewah 1MDB bernilai RM1 Billion, dan “bas amfibia” Terengganu yang bernilai RM3 juta, telah mencatat kontroversi yang mengecewakan rakyat Malaysia dan juga dunia.

Ujarnya, kapal mewah 1MDB – Equanimity, telah menjadi berita panas apabila ia dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali.

Beberapa negara dunia mencari kapal Equanimity kerana dipercayai umum ia dibeli dengan wang 1MDB yang di perolehi secara haram, katanya.

Anehnya jelas beliau, kerajaan Malaysia tidak berusaha untuk mendapatkannya. Ini adalah sikap tidak bertanggungjawab yang merugikan negara.

“Bas amfibia Terengganu berharga RM3 juta pula telah ditempah hampir lapan tahun dahulu dengan wang pendahuluan dibayar awal-awal lagi tetapi terpaksa menunggu begitu lama.

“Setelah begitu lama menunggu dan dengan bayaran begitu tinggi, amat mengecewakan bas amfibia ini telah rosak beberapa kali walaupun ianya baru diguna. Rakyat menganggap ianya satu pembaziran.

“Kedua-dua jentera pengangkutan tersebut di atas ada kaitan dengan negeri Terengganu,” kata Pengerusi AMANAH Terengganu itu dalam kenyataan medianya semalam.

Jelas Raja Bahrin, sejarah 1MDB telah bermula di Terengganu melalui syarikat asal Terengganu Inc di mana pendapatan akan datang hasil minyak dan gas negeri Terengganu akan dicagar untuk meminjam sebagai modal perniagaan.

Setelah kerajaan pusat melalui 1MDB mengambil alih, keadaan kewangannya menunjukkan kerugian yang amat tinggi sehingga berbilion ringgit, sambungnya.

“Isu bas amfibia Terengganu juga menunjukkan satu pelaburan yang membazir di mana setelah menunggu lapan tahun ianya mengecewakan dengan keadaan rosak berkali-kali apabila memasuki sungai dari permulaan penggunaannya.

“Wang yang banyak dari sumber seperti minyak dan gas menarik begitu banyak penyelewengan dan pembaziran seperti yang banyak berkait dengan Negeri Terengganu.

“Pemimpin negara hari ini menganggap wang yang banyak dari hasil minyak sebagai peluang untuk merompak dan menyamun harta rakyat untuk keuntungan kumpulan tertentu sendiri dan bukan untuk kebaikan rakyat umum.

“Kerana itulah skandal kleptokrasi terbesar dunia 1MDB bermula dari negeri minyak Terengganu,” tambahnya.

Katanya lagi, Terengganu hari ini di beri gelaran baru – “Terengganu Darul Runtuh” dan bukan lagi Terengganu Darul Iman, kerana begitu banyak keruntuhan seperti bumbung stadium, sekolah, dewan awam, kolam renang dan berbagai lagi struktur bangunan.

“Keruntuhan yang paling besar adalah keruntuhan akhlak dan amanah pemimpin negara dan negeri kita hari ini,” katanya.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0