Kapal mewah Equanimity selamat tiba di Terminal Boustead Cruise Center

Kapal mewah Equanimity selamat tiba di Terminal Boustead Cruise Center

Kapal Equanimity yang dipercayai milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, atau Jho Low, tiba dengan selamat di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang tepat jam 12.35 tengah hari ini.

Kapal tersebut tiba di dek dengan diiringi sebuah kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sebuah bot Polis Marin ke terminal.

Difahamkan beberapa pegawai kanan polis turut berada di atas kapal berkenaan ketika kapal itu diserahkan oleh pegawai penguatkuasa Indonesia kepada polis Malaysia di perairan Selat Singapura.

Pihak media telah berkumpul sejak pagi tadi untuk menanti ketibaan kapal itu.

Bagaimanapun media tidak dibenarkan menghampiri dek di terminal  tersebut. Polis mengawal ketat pintu masuk ke terminal.

Dijangka satu sidang media akan diadakan pada jam 2 petang ini.

Kapal mewah itu yang dianggarkan bernilai RM1 bilion dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak berkuasa antarabangsa masih memburu Jho Low yang dikatakan turut bersuhabat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan kerajaan negara itu atas bantuan mereka dalam menyerahkan Equanimity yang dirampas pihak berkuasa republik itu kepada Malaysia.

Kapal itu disita di Bali pada Februari atas permintaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), namun pada April mahkamah Indonesia memutuskan pihak Indonesia tidak boleh bertindak sedemikian dan kapal itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun kerajaan Indonesia merampasnya sekali lagi pada Julai.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS