Kapal Nautical Aliya nyaris bertembung bot nelayan Myanmar

Kapal Nautical Aliya nyaris bertembung bot nelayan Myanmar

Kapal Nautical Aliya hampir berlanggar dengan sebuah bot nelayan Myanmar di kawasan yang terletak kira-kira 17 batu nautika dari Sittwe hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi (waktu Malaysia) itu, sebuah bot nelayan dalam jarak 200 meter datang dari arah bertentangan dengan Nautical Aliya.

Salah seorang peserta misi Food Flotilla For Myanmar, Presiden Ikatan Muafakat Amal Malaysia (IMAM) Aemierulrizaki Rambli kepada Malaysia Dateline menerusi whatapps, memaklumkan kapal Nautical Aliya terpaksa membuat belokan 120 darjah ke kanan kerana sebuah bot nelayan cuba menghampiri.

“Keadaan itu menyebabkan sukarelawan terkejut dan terpinga-pinga apabila gegaran yang kuat dirasai di dalam dek kapal.

Justeru kata Aemierulrizaki lagi, belokan kapal itu  mengundang panggilan tentera laut Myanmar yang mengesan perubahan laluan kapal daripada laluan pelayaran yang sepatutnya.

“Ketika kejadian kapal sedang belayar pada kelajuan 7.7knot, 17 batu nautika barat Sittwe.

“Kita terpaksa membuat belokan berkenaan, kedudukan bot berkenaan terlalu hampir dengan laluan kapal dan hampir berlanggar,” kata pegawai kedua Kapten Firdaus yang mengemudi kapal berkenaan.

Sejurus kejadian kapal meneruskan perjalanan ke arah Cittagong awal pagi tadi dan kini semua sukarelawan sedang berada di Cox’s Bazar  Bangladesh.

Food Flotilla for Myanmar’ dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia dan Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) Foundation dari Turki.

Flotilla berkenaan, yang membawa kira-kira 2,200 tan makanan, berlepas dari Pelabuhan Klang semalam setelah disempurnakan pelepasan pelayarannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,

Kira-kira 230 sukarelawan dari 13 negara yang menganggotai pasukan perubatan, pendidikan serta pengamal media tempatan dan antarabangsa, di samping wakil pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan luar negara, menyertai misi itu.