Kapal Nautical Aliya tiba di Yangon

Kapal Nautical Aliya tiba di Yangon

Setelah tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan Teknaf Bangladesh, kapal Nautical Aliya yang membawa sukarelawan dan barangan bantuan untuk masyarakat Islam Rohingya tiba di Yangon.

“Alhamdulillah, dalam masa empat jam lagi tiba di Yangon,” kata salah seorang anggota sukarelawan, Jamuluddin Elias dalam mesej Whatsapp kepada Malaysia Dateline sekitar jam 10.46 malam tadi.

Jamuluddin ialah salah seorang anggota Yayasan Amal Malaysia yang mengikuti misi tersebut.

Ketua misi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam satu kenyataan dipetik Bernama memaklumkan keputusan kerajaan Bangladesh tidak membenarkan misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ berlabuh di Teknaf atas alasan ianya cetek dengan kedalaman hanya tiga meter.

Kapal dinaiki misi Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perunding Islam Malaysia (Mapim) itu memerlukan kedalaman sekurang-kurangnya lapan meter untuk bergerak tanpa halangan menuju ke pelabuhan.

Abdul Azeez juga memaklumkan keputusan untuk berlabuh di Pelabuhan Chittagong sebagai pilihan terbaik.

Menurutnya, kerajaan Bangladesh memberi tiga tempat lain iaitu pulau Saint Martin, Kutubdia dan Chittagong bagi memasuki negara itu.

Misi yang masuk hari keenam hari ini, membawa 195 sukarelawan dan 2,300 tan metrik makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.

TAGS