Kapal peronda bukan kapal perang tumpuan menteri

Mohamad Sabu ketika diwawancara perantara Sayed Munawar buat pertama kali di RTM1, Angkasapuri.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, tumpuan pihaknya adalah menjurus kepada kelengkapan kapal-kapal peronda bukannya peralatan perang.

Menurutnya, Malaysia bukan seperti kuasa besar dunia lain yang membangunkan kelengkapan perang masing-masing.

“Ini semua sedang dibincangkan dan sedang dilaksanakan. Bahkan kita akan modenkan (kelengkapan tentera). Perdana Menteri misalnya menyatakan kita tidak perlu kapal perang besar sebab kita negara kecil.

“Kita bukannya hendak berperang dengan negara-negara yang mempunyai kelengkapan perang yang hebat seperti Amerika dan China.

“Yang kita perlu adalah kapal-kapal peronda yang cepat dan pantas terutama untuk kita menghadapi pencerobohan dan masalah lanun di perairan sekeliling negara kita,” ujarnya dalam program siaran langsung Bicara Khas TV1, kelmarin.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga Presiden AMANAH berpendapat kelengkapan kapal peronda itu akan lebih dapat menjamin keselamatan tanah air berbanding kapal perang yang menuntut perbelanjaan jauh lebih besar.

“Ini semua program yang dirancang bersama oleh angkatan tentera Malaysia dengan civilian dan sebagainya. Kami sentiasa berbincang bagaimana hendak mengurangkan belanja tetapi tidak menjejaskan keselamatan bahkan meningkatkan lagi soal pengawasan keselamatan negara,” jelasnya.

Menyedari lokasi strategik Malaysia dalam perdagangan antarabangsa, beliau berkata, kelengkapan dari segi kapal-kapal peronda yang canggih amat diperlukan.

“Kita tahu Malaysia negara maritim dengan Selat Melaka menjadi laluan paling sibuk di dunia kesan perkembangan ekonomi China dan Korea.

“Jadi, Selat Melaka mesti dikawal. Hendak mengawalnya itu bukan dengan kapal perang tetapi dengan kapal-kapal peronda yang lebih hebat.

“Begitu juga Laut China Selatan yang menjadi zon ekonomi yang hebat kerana kita 200 kilometer dari pantai dengan liputan yang panjang dan luas.

“Kita perlu mempunyai kapal-kapal ronda yang hebat serta sistem pertahanan udara yang mantap untuk mengawasi kegiatan pencerobohan di kawasan ekonomi negara kita,” kata Mohamad lagi.

8.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 8.0
CATEGORIES
TAGS