Malaysia Dateline

Kapal selam milik TLDM beroperasi dengan baik, kata Mohamad Sabu

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memaklumkan, kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih boleh digunakan, tetapi penyelenggaraan secara rapi perlu dilakukan dari masa ke semasa.

Mohamad berkata, beliau berharap aset tentera yang ada ketika ini melalui fasa ‘Maintanance, Repair & Overhaul (MRO)’ dan bukannya beli, pakai dan tidak digunakan lagi.

“Kapal selam itu boleh digunakan (menyelam). Apabila saya ke luar negara, mereka menggunakan istilah MRO iaitu, penyelenggaraan, membaiki dan membaik pulih.

“Perkembangan pertahanan di negara kita hendaklah sama dengan perkembangan pertahanan di negara lain,” katanya dalam Bicara Minda yang dimoderatorkan Tan Sri Johan Jaafar di Dewan Karangkraf Shah Alam, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, anggota tentera pada ketika ini, ramai yang mempunyai kelulusan tinggi seperti Ijazah Doktor Falfasah (PhD), Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda.

Sehubungan itu, pihaknya mahu melihat anggota tentera yang mempunyai kelulusan sedemikian, berupaya melakukan pelbagai tugasan.

“Mereka ialah tentera yang bersifat pintar. Maknanya seorang perajurit itu boleh melakukan pelbagai kerja mengikut kebijaksanaan yang dimiliki seseorang anggota tentera itu.

“‘Army for next generation’ adalah anggota tentera yang bukan hanya mengendalikan satu tugasan, malah berupaya berfikir daripada sudut merangka strategi dan sebagainya.

“Kalau dulu, kita cakap askar peringkat bawahan ini hanya bertindak mengikut arahan (tanpa ketua mungkin dia tak boleh sesuatu), tetapi ‘Army for next generation’ ini, dia sendiri boleh arahkan dirinya sendiri sama ada ketika damai atau perang,” katanya.