Malaysia Dateline

Karnival kerjaya perlu diperluas ke bandar kecil – Mahfuz

Karnival kerjaya sama ada anjuran jabatan, agensi kerajaan mahu pun swasta, perlu turut diperluaskan ke bandar-bandar kecil bagi memudahkan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan belia di luar bandar turut mendapat akses yang sama dalam merebut peluang-peluang pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan statistik JobsMalaysia tahun lepas 183,000 orang berjaya mendapat pekerjaan menerusi temuduga terbuka pada karnival kerjaya iaitu mencapai sasaran 60 peratus daripada kekosongan jawatan ditawarkan.

“Bagi tahun ini kira-kira seramai 150,000 orang berjaya ditempatkan dalam pekerjaan masing-masing menerusi proses temuduga terbuka pada program seumpama ini.. Justeru kita berharap ia dapat diteruskan dan sampai ke peringkat akar umbi iaitu di bandar-bandar kecil, bukan di bandar besar sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Karnival Kerjaya Muar 2018, di sini semalam.

Program anjuran Kerajaan Negeri Johor melalui Unit Swadaya Insan Negeri Johor itu turut mendapat kerjasama dari JobsMalaysia Johor di bawah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan Persatuan Kebajikan Prihatin Muar atau Muar Care, selain berjaya mencatatkan 1,305 pengunjung, dengan 126 orang berjaya mendapat penempatan pekerjaan.

Sebanyak 21 syarikat swasta dari pelbagai sektor turut mengambil bahagian dan menawarkan 1,719 kekosongan jawatan, selain melibatkan 20 pusat latihan serta kemahiran bagi memberi maklumat berkaitan peluang melanjutkan pelajaran di institusi masing-masing.