Karnival Peduli Rakyat AWAN tanda prihatin PH Melaka terhadap nasib rakyat

Karnival Peduli Rakyat AWAN tanda prihatin PH Melaka terhadap nasib rakyat

Atas keprihatinan terhadap nasib rakyat yang semakin tertekan dalam menjalani kehidupan seharian akibat kos kehidupan yang semakin hari semakin meningkat, Skuad Peduli Rakyat AWAN Negeri Melaka dan D’AWAN Shoppe Melaka telah mengadakan program Karnival Peduli Rakyat AWAN Melaka di Bukit Baru Melaka pagi semalam.

Program tersebut sekali gus bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya bangkit membuat perubahan pada pilihan raya umum akan datang bagi memilih pimpinan yang benar-benar mahu membela nasib rakyat dan prihatin tentang nasib mereka.

Ketua Biro Kebajikan AWAN Nasional, Ustazah Mariam Abdul Rashid berucap dan melancarkan Karnival Peduli Rakyat AWAN Melaka.

Program berkenaan dilancarkan oleh Ketua Biro Kebajikan AWAN Nasional, Ustazah Mariam Abdul Rashid dan ia mendapat sambutan yang hangat daripada penduduk setempat.

Antara pimpinan yang hadir pada program itu ialah Pengeruai Pakatan Harapan (PH) dan AMANAH Melaka, Haji Adly Zahari, Pengerusi DAP Melaka, YB Tey Kok Kiew, Timbalan Ketua Wanita PH Melaka, Ginnie Lim, Ketua AWAN Melaka Mahani Othman Basir, Ketua Penerangan Serikandi PPBM Melaka, Roseliza Abdullah dan lain-lain.

Pada ucapan perasmian karnival, Ustazah Mariam mengingatkan rakyat Melaka agar mencontohi rakyat Selangor yang memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (kini PH) pada PRU-13 lalu apabila dengan sokongan itu kerajaan PH dapat ditubuhkan.

“Banyak manfaat yang diperolehi oleh rakyat Selangor seperti air percuma, bas percuma, bantuan kesihatan RM500 setahun, bantuan untuk warga emas, pelajar, khairat kematian dan banyak lagi,” katanya.

Sebahagian daripada orang ramai yang datang menjayakan Karnival Peduli Rakyat anjuran AWAN Melaka.

Menurutnya, AMANAH melalui Biro Kebajikan akan terus mengadakan program seumpama ini bagi menyedarkan rakyat tentang pentingnya mereka membuat perubahan bagi mengatasi masalah kos kehidupan yang semakin meningkat lantaran kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian.

“Dengan adanya kedai peduli rakyat seperti ini kami dapat menawarkan harga barangan yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat yang semakin sengsara sekarang,” tambah beliau.

Selain jualan barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, kuih-muih serta barangan makanan lain, turut diadakan sepanjang karnival tersebut ialah pemeriksaan kesihatan percuma, peraduan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, dan pemberian sumbangan asnaf.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES