Karnival Rahmah 2019 berpotensi jadi acara terbesar negara, kata Mujahid

Karnival Rahmah 2019 berpotensi jadi acara terbesar negara, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memaklumkan, Karnival Rahmah 2019 berpotensi untuk menjadi salah sebuah acara terbesar di negara ini dengan menyasarkan golongan keluarga dan generasi muda.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, karnival pertama akan diadakan di Dataran Putrajaya bermula pada 26 hingga 29 September depan, dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Katanya, karnival itu bukan sahaja akan diadakan di Putrajaya, malah terdapat lagi dua lokasi iaitu Kelantan dan Pulau Pinang.

“Pelbagai program dan aktiviti menarik telah disediakan di karnival ini untuk seluruh lapisan masyarakat di negara ini antaranya Karnival Mini Kanak-Kanak, Karnival Mini Perumahan, Festival Buku, pelbagai pameran, dan reruai jualan.

“Konsep karnival ini juga adalah berlandaskan ‘edutainment’ yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan untuk semua.

“Penganjuran karnival ini adalah bersesuaian dengan hasrat kerajaan yang sentiasa ingin memastikan keamanan dan kemakmuran terhadap rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar melancarkan logo rasmi Karnival Rahmah 2019 peringkat kebangsaan di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya.

Perasmian itu adalah permulaan kepada kempen pengiklanan dan promosi karnival tersebut di semua media utama dan digital.

Karnival itu dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pelancaran logo rasmi Karnival Rahmah 2019 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Islam Putrajaya.