Malaysia Dateline

Karnival Rahmah akan diperluaskan ke negeri-negeri

Karnival Rahmah 2019 (KR19) yang berlandaskan ‘edutainment’ akan diperluaskan ke negeri-negeri lain demi merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin atau rahmat ke seluruh alam.

KR19 juga antara lain bertujuan menyebarkan kefahaman kepada umat Islam dan penganut agama lain bahawa Islam, adalah agama harmoni dan menghormati semua tanpa mengira agama dan kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pada masa akan datang, pihaknya akan menganjurkan KR19 di negeri-negeri lain.

“Oleh kerana ia di peringkat kebangsaan, maka sudah tentu kita akan turun selanjutnya di negeri-negeri lain.

“Konsep karnival ini juga adalah berlandaskan ‘edutainment’ yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan untuk semua.

“Penganjuran karnival ini adalah bersesuaian dengan hasrat kerajaan yang sentiasa ingin memastikan keamanan dan kemakmuran terhadap rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Rahmah 2019 (KR19) yang diadakan di Dataran Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail merasmikan karnival berkenaan.

Program yang berlangsung sehingga Ahad ini menyediakan hampir 30 aktiviti menarik khas untuk para pengunjung yang merancang untuk datang ke karnival berkenaan.

Antara aktiviti yang disediakan adalah Jamuan Rahmah, karnival kanak-kanak, pesta buah-buahan, Program Jawi Food Bank, Pertunjukkan Paragliding, Sukan Rahmah, Eco Alami Ride dan banyak lagi program menarik.