Malaysia Dateline

Karnival Rahmah berjaya capai sasaran pengunjung lebih 300,000

Penganjuran Karnival Rahmah 2019 (KR19) yang menyasarkan mesej kasih sayang dan keharmonian hidup bermasyarakat berjaya mencapai sasaran pengunjung sehingga 300,000 orang selama tiga hari karnival tersebut diadakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, karnival tersebut turut berjaya mencapai objektif berlandaskan edutainment yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan secara santai.

Dengan itu katanya, secara tidak langsung telah menterjemahkan konsep Gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan kepada masyarakat seluruh negara.

“Kita meyakini ini adalah peluang terbaik untuk kita mengakar umbikan apa erti kedamaian dan keamanan jika kita percaya bahawa dunia perlu hidup dalam kepelbagaian kaum, bangsa dan agama.

“Niat kita adalah untuk memastikan rakyat Malaysia memilih jalan kedamaian dan menolak golongan yang cuba menimbulkan permusuhan serta kebencian antara kaum dan agama.

“Agensi agama yang selama ini di pandang dengan persepsi negatif yang kononnya dianggap hanya duduk dalam lingkungan kelompok tertentu, telah kita buktikan hari ini bahawa ianya tak benar kerana kita bukakan untuk seluruh kaum, bangsa dan agama dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Rahmah 2019 di Dataran Putrajaya, pada Ahad.

Turut hadir, Datuk Nordin Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Datuk Seri Syed Hussin Al Hamshee, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan; dan Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif MAWIP.

Jelasnya, Karnival Rahmah yang telah berlangsung selama 3 hari itu, menyediakan sehingga 30 acara dan aktiviti kepada masyarakat yang mengguna pakai konsep karnival dalam karnival.

Tambah mengujakan katanya, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Oleh kerana itu, masyarakat diharapkan dapat menghayati gagasan ini disamping berasa gembira, jauh sekali rasa bersalah dengan momokan bahawa Rahmatan Lil Alamin akan menjauhkan kita daripada Islam,” ujarnya