Malaysia Dateline

Karnival Rahmah: Hampir 30 aktiviti menarik menanti pengunjung berbilang bangsa

Hampir 30 aktiviti menarik disediakan khas kepada para pengunjung yang merancang untuk datang ke Program Karnival Rahmah Peringkat Kebangsaan 2019 (KR19) pada Jumaat hingga Ahad ini.

KR19 anjuran Jabatan Perdana Menteri (Agama) di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu akan diadakan di Dataran Putrajaya bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail berkata, antara aktiviti menarik yang disediakan kepada para pengunjung adalah Jamuan Rahmah Untuk Semua.

Mohd Ajib Ismail

Beliau berkata, jamuan secara percuma itu disediakan untuk semua pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum dan juga agama.

Katanya, jamuan itu bermula pada hari Sabtu jam 5 petang bertempat di Qiblat Walk berhadapan bangunan Perbadanan Putrajaya.

“Selain jamuan makan, ada juga selebriti yang akan membuat persembahan dalam Konsert Rahmah pada jam 9 malam (malam minggu) antaranya Ramli Sarip, David Arumugam dan Aisyah.

“Penyanyi terkenal, Datuk Sri Siti Nurhaliza pula akan berada dalam acara Halal Fun Run yang diadakan di Dataran Putrajaya pada jam 7 pagi hari yang sama (Sabtu).

“Antara aktiviti lain adalah, karnival kanak-kanak, pesta buah-buahan, Program Jawi Food Bank, Pertunjukkan Paragliding, Sukan Rahmah, Eco Alami Ride dan banyak lagi program menarik menanti pengunjung.

“Semua acara ini sebahagian besarnya akan diadakan di Dataran Putrajaya kecuali beberapa acara yang turut diadakan di lokasi berbeza sekitar Putrajaya,” katanya kepada media pada sesi taklimat mengenai program tersebut di Jawi, Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Munir Salleh; Ketua Unit Komunikasi Korporat Jawi, Saiful Azhar Saadon; Wakil Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Hilmi Radzuan dan Unit Komunikasi Korporat Jawi, Khairunnisa Bakri.

Dalam pada itu, Mohd Ajib turut menerangkan kepada pemberita ketika ditanya mengenai pemilihan Putrajaya sebagai lokasi penganjuran karnival berkenaan.

“Kami memilih Putrajaya kerana lokasinya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Selain itu, kami mahu menjadikan Dataran Putrajaya sebagai model kepada karnival-karnival Rahmah yang akan datang sekali gus menarik orang luar datang ke sini.

“Karnival berkonsepkan ‘edutaiment’ ini diadakan bertujuan menyebarkan fahaman kepada umat Islam dan penganut agama lain bahawa Islam adalah agama harmoni dan menghormati semua tanpa mengira agama dan kaum serta merakyatkan Rahmatan Lil Alamin.

“Selain itu, KR19 ini turut menyasarkan seluruh rakyat untuk hadir tanpa mengira kaum, bangsa dan agama bagi mengukuhkan lagi silaturrahim dan hubungan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Esok jam 8 malam akan diadakan Forum Perdana Ehwal Islam bertempat di pentas utama KR19. Untuk makluman, majlis perasmian akan diadakan pada Jumaat ini jam 3 petang yang akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya lagi.