Malaysia Dateline

Kartel daging import: Salahuddin cabar Najib perjuangkan penubuhan RCI

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mencabar Najib Razak memperjuangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kartel daging import.

Reaksi bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu susulan dakwaan Najib bahawa isu tersebut tidak pernah timbul sepanjang tempoh dia menjadi Perdana Menteri.

“Amboi. Mulut tak ada insurans.

“Kalau berani mari sama-sama perjuangkan supaya RCI ditubuhkan untuk siasat kes ini,” tegas Salahuddin di Twitter semalam.

Ahli Parlimen Pulai berkenaan turut memuat naik tangkap layar laporan sebuah portal berita mengenai kenyataan Najib yang antara lain menyatakan tidak pernah menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu kartel daging.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu berkata, isu tersebut pertama kali dibangkitkan media Asia Sentinel yang pada Oktober tahun lalu selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menarik balik pengiktirafan terhadap sebuah badan pensijilan halal di Australia.

Walau bagaimanapun, kata Najib, menteri terlibat semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan itu termasuk Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan timbalannya, Fuziah Salleh.

Sehubungan itu, Najib berkata bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya yang pernah berjanji akan menyiasat isu kartel daging import boleh ditanya tentang perkembangan siasatan berhubung isu tersebut.

Turut perlu ditanya kata Najib ialah Mujahid dan Fuziah sepanjang tempoh empat bulan siasatan kes tersebut.

Awal bulan ini, media mendedahkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

Hal tersebut dibongkarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.

Penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah itu mengundang keraguan status halal dan kualiti bahan makanan itu.

Dipercayai kartel terbabit ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.