Malaysia Dateline

Kartel daging jejas reputasi negara, kata DAP

Senator DAP Liew Chin Tong menegaskan isu daging kartel yang melibatkan pemalsuan logo halal boleh menjejaskan reputasi negara sekiranya tidak sepenuhnya disiasat.

Pengarah Strategik DAP itu berkata, kerajaan perlu idea baharu dan membina semula asas yang lebih baik agar isu ketirisan yang membabitkan keselamatan makanan rakyat tidak akan berulang untuk masa hadapan.

“Jika isu krisis kartel daging ini tidak disiasat sepenuhnya, ia akan menjadi risiko dan menjejaskan reputasi negara kita.

“Isu kartel ini juga berkait rapat dengan keselamatan makanan (food security).

“Krisis ini adalah peluang kepada kerajaan untuk membaik pulih dan memperhalusi dasar keselamatan makanan agar bekalan makanan mencukupi, bersih dan selamat untuk rakyat,” katanya pada 29 Disember lalu.

Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya menyokong sepenuhnya usul tergempar yang dibawa Senator Asmak Husin dari Pas yang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu daging kartel yang mendatangkan kegelisahan orang awam.

“Ketika kami menjadi ahli pentadbiran, sebagai Menteri dan Timbalan Menteri yang telah melawat ke setiap negara lain, kami memahami perkara berkaitan dengan sijil halal, perbankan Islam dan kewangan Islam, yang merupakan inovasi negara pada tahun 80-an, amat penting buat reputasi Malaysia.

“Saya mencadangkan agar ahli Dewan Negara diberi ruang untuk terlibat dalam mengkaji isu ini melalui Kaukus Kesejahteraan Rakyat.

“Wajar sekiranya Dewan Negara menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk menyiasat kes ini agar Ahli Parlimen dapat menjalankan kerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan dan pemegang taruh untuk mengatasi masalah ini,” kata Pengerusi DAP Johor itu lagi.