Malaysia Dateline

Kartel PDRM: Ketua Polis Negara akan jumpa menteri

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan miliknya tetapi kepunyaan negara namun beliau akan memimpin ke jalan yang betul.

Menurutnya, beliau telah meminta pegawainya untuk menghentikan amalan mengambil wang dalam usaha menghapuskan budaya negatif itu.

“Saya hendak perbetulkan budaya yang tidak baik ini. Dan, saya minta pegawai saya hentikan rantaian budaya yang mengambil duit dari bawah, bawa ke atas untuk saya. Sampai pegawai bawah pun takut nak ambil tindakan kerana IGP nak. Ini berlaku dulu.

“Ini saya nak hapuskan. Saya cabar mereka apa salah dengan perbuatan saya? Saya hanya mahu rakyat dapat hak mereka dengan perkhidmatan terbaik,” dipetik BH hari ini.

Untuk rekod, Abdul Hamid yang kira-kira 40 tahun berkhidmat dalam PDRM dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Beliau menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu didakwa menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan telus ketika memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Pada 17 Mac lalu, Abdul Hamid mendedahkan wujudnya kartel dalam PDRM yang mahu menjatuhkannya dan mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan kartel itu, beliau berkata akan bersemuka dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memberi penjelasan lanjut.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, pendedahannya sebelum ini hanya mahu membuka mata pegawai lain kerana percaturan kartel muda itu masih dalam kawalannya.

Tegasnya, pendedahan yang dibuat tanggungjawab beliau sebagai Ketua Polis Negara kerana tidak mahu budaya ‘the blue code of silent’ di Amerika Syarikat bersarang dalam PDRM.

“Saya tidak mahu lagi ada keadaan uniform biru ini digunakan untuk mengugut orang. Seperti ‘the blue code of silence’ di AS. Kalau polis sama polis melakukan kesalahan, tutup bawah karpet.

“Saya tidak mahu itu semua. Saya sudah berikan perakuan kepada menteri bahawa, saya akan bawa perkara ini dalam pertemuan dengan beliau tidak lama lagi.

“Mungkin beliau (menteri) tidak tahu tentang perkara ini. Saya buat pendedahan ini. Saya yakin kegiatan dilakukan pegawai tidak bertanggungjawab ini dapat ditangani. Sebab itu saya bawa ke atas,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abdul Hamid menasihatkan pihak yang mengkritiknya terutama yang sudah bersara untuk bermuhasabah diri.

“Yang masih lagi ingin menggunakan kedudukan dan kuasa dia sebagai pegawai dulu. Meminta itu dan ini dari pegawai. Apabila tidak dilayan, kecewa. Mula cari salah sana sini,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Abdul Hamid pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, iaitu bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas Daesh.