Malaysia Dateline

Kartunis sindir sidang Dewan Rakyat hanya tiga jam

Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang dipendekkan dari pukul 10 pagi hingga 1 petang berkuat kuasa hingga Khamis ini turut mengundang sindiran tajam daripada kalangan kartunis.

Zulkiflee SM Anwarul Haque, atau lebih popular dengan panggilan Zunar tampil dengan karya bertajuk “PM, Parlimen & Tuan Speaker!”

Penerima anugerah berprestij ‘Cartoonist for Peace Award 2016’ itu melukis ‘Speaker Art’ sedang ‘memaku’ pada papan keranda bertulisan ‘demokrasi berparlimen’.

Dengan imej tangan ‘PM’ di sebalik tindakan Speaker itu terdapat empat ungkapan turut terpampang pada keranda tersebut iaitu “Pendekkan waktu sidang” dan “Tolak usul pembangkang”.

Turut tertera “guna alasan Covid” dan “Selamatkan Muhyiddin”. Keempat-empat ungkapan itu dilihat sebagai pendekatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus berkuasa ketika hanya mempunyai majoriti tipis dua undi.

Malah, kartunis prolifik yang pernah beberapa kali ditahan mengikut Akta Hasutan ketika era kerajaan BN itu juga menghasilkan dua lagi karikatur berkaitan isu pemendekkan tempoh sidang Dewan Rakyat.

Kedua-dua kartun bertajuk ‘Mangkok betul…’ dan ‘Oh Mr Speaker!’ itu dimuat naik di Facebook rasmi Zunar, 58, kelmarin iaitu hari pertama Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14.

Sementara itu, kartunis Megat Abdul Wahid pula melukis watak seorang individu berpakaian istiadat Dewan Rakyat di sebalik daun pintu dengan dialog, “Piss… Mr. Speaker! Make it until 1pm only.”

 

Dalam tempoh kurang 24 jam lalu juga, kartunis politik veteran Rosidi Ismail atau Rossem menghasilkan karya yang berdasarkan setiap huruf yang membina perkataan “politik”.

Tujuh huruf yang diwakilkan pemilik Balai Kartun Rossem di Kota Bharu, Kelantan itu dengan objek antaranya wang dan kerusi dilihat merumuskan unsur-unsur penting dalam politik.

Kelmarin, usul penangguhan mesyuarat setakat jam 1 tengah hari diluluskan dengan suara terbanyak selepas dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan, menurut Peraturan Mesyuarat 12(1) selepas sesi soal jawab dan disokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.