Karya hanya wayang jika tidak merakam masalah rakyat – Pak Samad

Karya hanya wayang jika tidak merakam masalah rakyat – Pak Samad

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menegaskan, golongan penulis perlu merasai denyut nadi masyarakatnya dalam segala bentuk karya sastera yang dihasilkan.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menegaskan, golongan penulis perlu merasai denyut nadi masyarakatnya dalam segala bentuk karya sastera yang dihasilkan.

Menurutnya tanpa merakam masalah masyarakat, karya yang dihasilkan tidak lebih sekadar wayang sahaja.

“Setiap orang wajib melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bangsanya.

“Jika masih tidak berada di tengah masyarakat semua yang dilakukan itu wayangan sahaja,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang (AINUA) 2017 di ibu negara hari ini.

Sosok sasterawan rakyat berusia 85 tahun ini menerima hadiah bernilai RM25,000 termasuk geran bagi aktiviti memupuk integrasi nasional di negara ini.

Anugerah beserta plak dan sijil penghargaan itu disampaikan Pengasas Yayasan Usman Awang, Tan Kai Hee.

Pak Samad menerima hadiah bernilai RM25, 000 termasuk geran bagi aktiviti memupuk integrasi nasional di negara ini

Tahun ini merupakan tahun kedua AINUA yang merupakan usaha sama antara Yayasan Usman Awang dan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) diadakan selepas kali pertama penganjurannya pada 2014.

AINUA bertujuan memberi sanjungan dan penghargaan kepada individu atau organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menyumbangkan jasa dalam perpaduan dan integrasi nasional.

Selain itu, ia juga bertujuan memupuk semangat perpaduan dan integrasi rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Samad yang mesra dikenali sebagai Pak Samad berkata, pengalaman berkaryanya berkait dengan latar hidup menempuh zaman pendudukan Jepun.

“Saya merasakan seperti 60 tahun (negara merdeka) sepatutnya indah untuk bangsanya tetapi apa yang diisi?

“Yang diisi kekufuran,” ujarnya yang menyuarakan kebimbangan tentang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh kuasawan pada masa ini.

Tegasnya, ramai pemimpin yang diharap untuk memelihara hak rakyat dan kemakmuran tanah air ini bertindak sebaliknya.

“Kita seolah-olah tergamam kenapa negara yang banyak sumber dan hasil bumi ini jadi begini.

“Ramai tokoh yang diharap tetapi menjadi tokoh yang menjahanamkan kita,” bidas Sasterawan Negara yang dinobatkan pada 1985 itu.

Beliau berpendapat rakyat ditindas dengan beban hutang dan kenaikan tinggi biaya sara hidup.

“Yang berlonggok di depan kita adalah hutang. Kita sedang berada di tengah-tengah kesengsaraan itu,” tambahnya lagi.

Pak Samad kemudiannya mengakhiri ucapannya dengan membacakan puisi beliau berjudul ‘Selagi Dusta’.

Dalam majlis sama, buku ‘Anak Jiran Tionghua’ yang merupakan himpunan 50 sajak karya Usman bertemakan perpaduan dan keamananan dilancarkan dengan kata pengantar oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Yayasan Usman Awang Dr Syed Husin Ali.

Turut hadir di Royal Lake Club di Tasik Perdana Sasterawan Negara, Dr Muhammad Haji Salleh dan ahli akademik.

Pemimpin politik juga hadir iaitu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua serta Exco Kerajaan Negeri Selangor, Amirudin Shari.

 

TAGS