Malaysia Dateline

Kasari mahasiswa UM: Lokman Adam dan tiga lagi individu akan didakwa hari ini

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, akan didakwa di mahkamah, hari ini, susulan insiden beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) dikatakan dikasari di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, di sini, baru-baru ini.

Lokman yang mengesahkan perkara itu melalui laman sosial Facebooknya berkata, beliau menerima surat pertuduhan, pada Rabu, dan diminta hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, jam 9 pagi hari ini

Beliau berkata, Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim, dan dua lagi individu juga akan dituduh berhubung kes itu.

“Saya dikatakan akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang akan dibaca bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan di mana kononnya saya sudah mendatangkan kecederaan (kepada salah seorang mahasiswa),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tercetus insiden tolak-menolak antara mahasiswa UM dengan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, Jumaat lalu.

Ketika kejadian, Najib dikatakan sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan pelajar di sebuah restoran terletak berhadapan perhentian bas berkenaan.

Polis mengesahkan menerima 12 laporan berikutan insiden itu. – BERNAMA