Malaysia Dateline

Kasihan MO1 anggap orang akan simpati, kata Hanipa

Mohamed Hanipa Maidin

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berpendapat Malaysian Official 1 (MO1) mungkin menganggap orang lain akan bersimpati dengannya ekoran dikaitkan dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tanpa menyebutkan nama Datuk Seri Najib Razak, beliau menyifatkan semua pihak mahu kes pembunuhan tragik itu dibicarakan.

“Respons segera saya, kasihan MO1. Dia mesti ingat apa yang dia kata itu dah ok sangat, maka orang, fikirnya, akan simpati dan percaya dengan beliau.

“Saya rasa tak ada orang yang tak setuju kes Altantuya telah dibicarakan.

“Hatta dalam negara yang tertakluk kepada rejim yang zalim yang berselirat dengan pelbagai undang-undang zalim (repressive laws) pun ada bicara tuan,” dipetik daripada Facebook Hanipa hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Najib ketika ditemubual agensi berita Reuters yang antara lain menyaksikan bekas Pengerusi BN itu mendakwa tiada bukti dirinya bertemu dengan Altantuya.

“MO1 dilapor media agak defensif ketika berbicara tentang kes Altantuya.

“Dilaporkan beliau (MO1) berkata kes tersebut telah ditangani, tidak ada bukti beliau ada bertemu si mati, tidak ada rekod, tidak ada gambar, tidak ada saksi yang kata beliau ada berjumpa dengan si mati.

“Beliau juga dipetik berkata kes itu tertakluk kepada satu perbicaraan yang sewajarnya dan nama beliau tidak timbul semasa perbicaraan tersebut.

“Tak cukup dengan itu beliau juga dipetik berkata, ‘saya sudah bersumpah dengan nama Allah dalam sebuah masjid bahawa saya tidak ada kena dengan kes berkenaan’,” katanya.

Untuk rekod, kontroversi siapa individu sebenar MO1 (Pegawai Malaysia 1) pertama kali berbangkit apabila disebut dalam tuntutan mahkamah oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) pada 20 Julai 2016 berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sehubungan itu, Hanipa menjelaskan perbicaraan dalam kes sebegitu dipanggil ‘show trial’ jika mengikut pengamal undang-undang.

Show trial ini bukan bermatlamat untuk tegakkan keadilan tapi ia lebih kepada satu perbicaraan, meskipun terbuka namun lebih bertujuan untuk mempengaruhi atau memuaskan pendapat awam saja.

“Contoh show trial yang popular ialah Moscow trial pada zaman Stalin, kes pendesmontran dalam tragedi Tiananmen Square di China, kes Mossi dan ramai anggota Ikhwanul Muslimum di Mesir yang dibicara di bawah rejim Alsisi,” jelasnya.

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) berkenaan berkata, bukti MO1 mengenali Altantuya mungkin ada tetapi tidak dikemukakan sebelum ini kerana dianggap tidak perlu dilakukan.

“Sebabnya, isu motif si mati dibunuh dilaporkan tidak dibangkitkan dalam perbicaraan itu,” bidasnya mengulas dakwaan Najib tiada bukti untuk mensabitkan beliau kenal dengan model yang mati pada usia 28 tahun itu.

“Bila MO1 kata nama dia tak timbul dalam perbicaraan itu, pun saya setuju. Yalah masa itu tuan adalah orang yang berkuasa.

“Jika nama tuan muncul, tak tahulah apa nasib hakim atau pendakwa? Adakah senasib mantan AG (Peguam Negara) yang dilaporkan sudah sedia dengan kertas pertuduhan kes 1MDB terhadap tuan?

“Apapun, selamat berjayalah tuan atau isteri tuan jika diandaikan dibicara semula kes Altantuya tu dan kedua-dua kamu dijadikan OKT (Orang Kena Tuduh). Allah lebih tahu,” tegas Hanipa lagi.