Malaysia Dateline

Kasihanilah rakyat, AWAN gesa timbang semula pembatalan Bazar Ramadan, Aidilfitri

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Kelantan mendesak Exco Kesihatan menimbangkan semula keputusan membatalkan aktiviti perniagaan Bazar Ramadan dan Aidil Fitri.

Ketua AWAN Dr Hafizah Mustakim berkata, pembatalan Bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh Negeri Kelantan telah menjejaskan rakyat terutama golongan peniaga yang telah membuat persiapan jualan mereka.

“Ini jelas kelihatan daripada luahan rasa rakyat ekoran dari keputusan ini.

“Kerugian persiapan disegi modal dan tenaga yang mereka telah dikeluarkan, siapa yang akan tanggung,” katanya.

Bahkan katanya, keputusan ini juga akan menjejaskan mata pencarian dan keadaan ekonomi rakyat terutama B40 dan M40 yang sedia tenat dan meruncing.

Keputusan ini juga, jelasnya akan memberi kesan domino kepada rantaian ekonomi rakyat, bukan sahaja peniaga tetapi juga pengusaha khemah-khemah jualan dan pembekal yang terkesan dengan keputusan ini.

“Bagi menangani gelombang Covid-19 yang meningkat , AWAN mencadangkan PKPB bersasar kepada kawasan dan lokasi yang dikenal pasti hotspot COVID-19.

“AWAN Kelantan juga menyeru dipertingkatkan usaha pendidikan kepada rakyat Kelantan untuk mendaftar dalam program imunisasi kebangsaan COVID 19 yang sedang dibuka sekarang.

“Amat menyedihkan kerana Kelantan menjadi negeri kedua tercorot pendaftaran vaksin COVID-19 menandakan tahap kesedaran penyakit ini masih ditahap yang perlu di pertingkatkan,”katanya.

Ramai para peniaga meluahkan rasa kecewa dengan keputusan tergesa-gesa kerajaan negeri yang membatalkan oeprasi Bazar Ramadan di saat akhir.

Bahkan ada yang telah mengeluarkan perbelanjaan bagi persiapan berniaga di Bazar Ramadan yang akan bermula esok.